
KOTA TINGGI, 5 September – Seramai 172 pelajar dari Kota Tinggi menerima Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berjumlah RM258,000 sebagai persediaan awal melanjutkan pengajian.
- WPP diharap meringankan beban pelajar dan memudahkan persediaan awal sebelum memulakan pengajian.
- Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Kota Tinggi meluluskan sumbangan sekali bayar kepada pelajar sebagai sokongan tambahan.
- Pemimpin menggesa pelajar tidak melupakan asal usul dan kembali menabur bakti kepada masyarakat Kota Tinggi.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, bantuan berkenaan diharap dapat meringankan beban pelajar dalam membuat persiapan awal sebelum memulakan pengajian.
“Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Kota Tinggi turut meluluskan sumbangan secara sekali bayar berjumlah RM34,400 kepada kesemua 172 pelajar terbabit.
“Bantuan itu juga memberi ruang kepada pelajar untuk memberi tumpuan sepenuhnya terhadap pengajian dan seterusnya mencapai cita-cita masing-masing,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Dalam pada itu, beliau berpesan agar pelajar yang berjaya kelak tidak melupakan asal usul dan kembali menabur bakti kepada masyarakat serta kawasan Kota Tinggi katanya ketika menghadiri Majlis Penyerahan WPP di Dewan Jubli Intan, Kota Tinggi, hari ini.
Majlis turut dihadiri ADUN Johor Lama, Norlizah Noh dan Ketua Pegawai Operasi PTPTN, Mastura Mohd Khalid.