Induk orang utan dan anak diselamatkan daripada ancaman kebakaran hutan

Foto AFP

JAKARTA, 5 Sept – Seekor induk orang utan bersama anaknya yang terancam akibat kebakaran hutan berhampiran habitat mereka di Indonesia berjaya diselamatkan awal minggu ini, menurut pihak berkuasa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Dipantau sejak Julai selepas ditemukan di kawasan ladang berhampiran hutan di Kalimantan Barat.
  • Dipindahkan ke pusat penyelamatan apabila kebakaran semakin hampir merebak ke habitat mereka.
  • Pemeriksaan awal menunjukkan tiada kecederaan, tetapi mereka dipantau sebab asap boleh menjejaskan sistem pernafasan.
  • Satu orang utan mati selepas diselamatkan; bedah siasat percaya pendedahan asap menjadi punca kematian.

Pasangan orang utan itu dipantau sejak Julai selepas ditemukan di kawasan ladang berhampiran hutan di Kalimantan Barat.

Namun, mereka dipindahkan ke pusat penyelamatan pada Khamis apabila kebakaran semakin hampir merebak dengan habitat mereka.

Pemeriksaan awal mendapati kedua-duanya tidak mengalami kecederaan akibat kebakaran, namun kesihatan mereka dipantau rapi oleh doktor haiwan kerana pendedahan kepada asap boleh menjejaskan sistem pernafasan.

Pengarah operasi Yayasan Inisiasi Alam Rehabilitasi Indonesia (YIARI), Argitoe Ranting berkata, sembilan orang utan telah dipindahkan akibat ancaman kebakaran hutan di daerah Ketapang, Kalimantan Barat, dalam tempoh kurang sebulan.

“Pendedahan kepada asap dalam tempoh tertentu boleh menjejaskan sistem pernafasan orang utan, terutama apabila kepekatan asap di habitat mereka sangat tinggi,” kata doktor haiwan YIARI, Komara.

“Kedua-dua individu itu akan terus dipantau sepanjang berada di pusat penyelamatan dan pemulihan,” katanya.

Katanya, kebakaran bukan sahaja memusnahkan hutan, malah menyebabkan haiwan kehilangan tempat perlindungan dan sumber makanan.

Seekor orang utan turut mati selepas diselamatkan minggu lalu.

Hasil bedah siasat menunjukkan pendedahan kepada asap dipercayai menjadi punca kematiannya.

Kepulauan Asia Tenggara itu sejak beberapa minggu lalu berdepan kebakaran hutan yang menyelubungi sebahagian kawasan Borneo dan Sumatera dengan jerebu.

Keadaan itu turut menyumbang kepada pencemaran udara di Malaysia, Singapura dan Filipina. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.