Zakat Selangor sasar zakat perniagaan RM234 juta, perluas IKTIRAF

Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj menyaksikan penyerahan simbolik zakat perniagaan FGV Holdings kepada Lembaga Zakat Selangor / Foto Zakat Selangor

SHAH ALAM, 4 Sept – Lembaga Zakat Selangor menyasarkan kutipan zakat perniagaan sebanyak RM234 juta tahun ini, sebagai sebahagian daripada sasaran keseluruhan kutipan dan agihan zakat negeri berjumlah RM1.37 bilion bagi 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Zakat Selangor perkukuh inisiatif IKTIRAF untuk menggalakkan syarikat menunaikan zakat perniagaan.
  • IKTIRAF memberi pengiktirafan bertingkat (Gangsa hingga Berlian) berdasarkan kriteria dan jumlah zakat; label digunakan selama 18 bulan.
  • Label IKTIRAF dibenarkan pada produk dan promosi untuk tambah nilai, tingkatkan sokongan pengguna; pengiktirafan boleh diperbaharui automatik.

Bagi menggalakkan lebih banyak syarikat menunaikan kewajipan berkenaan, Zakat Selangor memperkukuh usaha menerusi inisiatif Pengiktirafan Muzakki Zakat Selangor (IKTIRAF).

Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Selangor, Mohd Khaidzir Shahari berkata, potensi kutipan zakat perniagaan di Selangor masih besar, selaras dengan perkembangan pesat aktiviti ekonomi dan perniagaan di negeri itu.

Menerusi program IKTIRAF, syarikat yang menunaikan zakat perniagaan akan menerima pengiktirafan khas berdasarkan kriteria yang ditetapkan.

“Apabila mereka membayar zakat RM20,000 ke atas, kita beri IKTIRAF Gangsa. Kemudian ada peringkat seterusnya sehingga yang paling tinggi, IKTIRAF Berlian.

“Itu antara syarat yang kita tetapkan dan pengiktirafan itu menggunakan label berkenaan selama 18 bulan,” katanya.

Beliau berkata, syarikat yang menerima pengiktirafan itu dibenarkan meletakkan label IKTIRAF pada produk dan bahan promosi mereka sepanjang tempoh berkenaan.

Menurutnya, penggunaan label itu diharap dapat memberi nilai tambah kepada produk syarikat, sekali gus menggalakkan lebih ramai pengguna menyokong perniagaan yang menunaikan zakat.

Status pengiktirafan berkenaan juga boleh diperbaharui secara automatik sekiranya syarikat terbabit terus menunaikan zakat perniagaan pada tahun berikutnya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Hi-Tea Bersama Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah di Shah Alam.

Majlis yang menghimpunkan kira-kira 200 pembayar zakat itu menyaksikan 44 syarikat menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM11.48 juta.

Pada majlis sama, Yayasan Raja Muda Selangor menerima agihan dana wakalah berjumlah RM400,000 bagi menyokong pelbagai program kebajikan, pendidikan dan pembangunan belia.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.