Pindaan Jadual Keempat Akta 520 perkukuh kualiti bahan binaan – CIDB

CIDB

KUALA LUMPUR, 4 Sept – Pindaan Jadual Keempat Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia 1994 (Akta 520) yang mewartakan sembilan produk dan bahan binaan tambahan tidak akan memberi kesan peningkatan kos pembinaan atau kepada pengguna.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pindaan memperkukuh kawalan kualiti produk binaan dan meningkatkan keyakinan pengguna terhadap keselamatan bangunan dan infrastruktur.
  • Keperluan ujian adalah standard sedia ada; pengeluar sememangnya melaksanakan ujian tersebut.
  • Pindaan menekankan pematuhan piawaian dan pensijilan serta menumpukan penguatkuasaan terhadap pihak yang gagal melaksanakan keperluan.
  • Berkuat kuasa 1 Ogos 2026, dengan tempoh peralihan enam bulan sebelum penguatkuasaan penuh pada Februari 2027.

Sebaliknya, Timbalan Ketua Eksekutif Operasi Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Datuk Dr. Ts. Gerald Sundaraj, berkata pindaan itu bertujuan memperkukuh kawalan terhadap kualiti produk binaan sekali gus meningkatkan keyakinan pengguna terhadap keselamatan bangunan dan infrastruktur.

Katanya, keperluan ujian bagi produk berkenaan seperti digariskan pindaan, bukan perkara baharu kerana ujian tersebut sememangnya termaktub dalam piawaian yang digunakan untuk menghasilkan produk terbabit.

Timbalan Ketua Eksekutif Operasi Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Datuk Dr. Ts. Gerald Sundaraj.

“Proses ini adalah proses yang akan memberikan jaminan kepada pengguna dari segi kualiti. Proses untuk memastikan ujian dan sebagainya itu adalah satu proses yang sedia ada. Kita tidak menambah kos ujian tambahan.

“Ini adalah ujian-ujian yang sedia ada dan termaktub dalam standard yang digunakan untuk menghasilkan produk tersebut. Jadi, pengeluar memang melaksanakan ujian-ujian tersebut,” katanya kepada pemberita pada Sesi Meja Bulat Media bersama CIDB, di sini hari ini.

Menurut Datuk Dr. Ts. Gerald, pindaan berkenaan lebih memberi tumpuan kepada memastikan pemain industri yang terlibat melaksanakan keperluan ditetapkan, termasuk pematuhan terhadap piawaian dan pensijilan produk.

“Proses yang dilaksanakan terhadap pindaan ini adalah kita memberikan tumpuan dan penekanan kepada pihak-pihak yang tidak melaksanakan perkara yang sepatutnya,” katanya.

Beliau berkata, langkah itu turut memastikan produk dan bahan binaan yang digunakan dalam industri pembinaan memenuhi standard kualiti serta aspek keselamatan yang ditetapkan.

“Kita mahu pemain industri memahami dengan lebih jelas produk yang memerlukan pensijilan serta piawaian yang perlu dipatuhi, bagi memastikan bahan binaan yang digunakan dalam bangunan dan infrastruktur memenuhi piawaian ditetapkan serta memberikan keyakinan kepada semua pihak,” katanya.

Sembilan produk tambahan yang disenaraikan merangkumi tiga produk besi dan keluli, dua produk konkrit, tiga produk gentian dan komposit serta satu produk kaca.

Selain itu, 14 standard baharu turut ditambah kepada produk yang telah disenaraikan sebelum ini.

Pindaan berkenaan telah diwartakan dan berkuat kuasa pada 1 Ogos 2026, menjadikan sebanyak 102 produk dan bahan binaan dalam 11 kategori kini disenaraikan di bawah Jadual Keempat Akta 520.

Bagaimanapun, CIDB memberikan tempoh peralihan selama enam bulan kepada pemain industri untuk membuat persediaan sebelum pindaan itu mula dikuatkuasakan pada Februari 2027.

Tempoh berkenaan memberi ruang kepada pengeluar, pengimport, pembekal dan kontraktor untuk menyemak produk serta bahan binaan yang terlibat, memastikan pematuhan terhadap piawaian ditetapkan dan mengambil tindakan yang diperlukan sebelum penguatkuasaan bermula.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.