
PASIR PUTEH, 3 September – Langkah memperkukuh aspek keselamatan di pintu masuk negara khususnya di lapangan terbang diambil kerajaan dengan mengemukakan pelan mengandungi 17 perkara bagi menambah baik elemen keselamatan berkenaan.
- Pelan keselamatan tiga fasa telah dibentangkan kepada Jemaah Menteri.
- Pelan mengambil kira kes individu yang keluar Malaysia sebelum ditahan di negara destinasi kerana disyaki terlibat jenayah.
- Kerajaan tidak boleh membawa pulang warga Malaysia ditahan di luar negara; akan mendapatkan akses temubual untuk membantu siasatan dan kerjasama.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika memaklumkan perkembangan perkara itu menjelaskan pelan berkenaan yang mempunyai tiga fasa yang telah dibentangkan kepada Jemaah Menteri.
“Langkah berkenaan turut mengambil kira beberapa kes individu yang keluar dari Malaysia sebelum ditahan di negara destinasi kerana disyaki terbabit dalam kegiatan jenayah,”jelasnya dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Penyerahan Projek Siap Markas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga, Tok Bali.
Beliau dalam perkembangan sama turut memaklumkan, kerajaan tidak boleh membawa pulang rakyat Malaysia yang ditahan kerana kesalahan jenayah di negara lain untuk mengelak daripada dikenakan tindakan undang-undang negara berkenaan.
Sebaliknya, kata beliau Malaysia menghormati kedaulatan undang-undang negara terbabit, namun pada masa sama akan mendapatkan akses untuk menemu bual rakyat Malaysia yang ditahan bagi membantu siasatan dan kerjasama antara negara.