
BANGI, 3 September – Tabung Haji (TH) berada dalam kedudukan kewangan yang lebih kukuh dan mampan hasil usaha pemulihan yang telah dilaksanakan susulan krisis kewangan terdahulu.
- Pemfokusan pada pemerkasaan tadbir urus, akauntabiliti, kualiti pelaburan dan pengurusan risiko.
- Aset kini melebihi liabiliti; pendapatan pelaburan tertinggi RM4.46 bilion tahun lalu.
- Mengekalkan kos haji RM33,300 tiga tahun berturut-turut sambil meningkatkan perkhidmatan walaupun inflasi dan kos naik.
- Kadar agihan keuntungan meningkat berperingkat; komitmen memperkasa TH sebagai institusi kewangan Islam relevan dan berdaya saing.
Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad berkata, kejayaan itu dicapai menerusi pemfokusan terhadap pemerkasaan tadbir urus, akauntabiliti, serta peningkatan kualiti pelaburan dan pengurusan risiko.
Jelas beliau, keyakinan terhadap prestasi kewangan TH semakin terbukti apabila jumlah asetnya kini kembali melebihi liabiliti, sekali gus merekodkan pendapatan pelaburan tertinggi dalam tempoh lapan tahun bernilai RM4.46 bilion pada tahun lalu.
“Mengekalkan kos haji selama 3 tahun berturut-turut pada RM33,300. Mungkin nampak senang tetapi sebenarnya susah. Kalau kita lihat sekarang ini kemudahan di Arab Saudi semasa musim haji telah dipertingkatkan, dan sebagaimana kita sedia maklum semua ini melibatkan kos dan Tabung Haji berjaya mengekalkan kos tersebut walaupun berhadapan dengan inflasi dan
juga memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada pendeposit.
“Dan yang ketiga, kadar agihan keuntungan meningkat secara berperingkat,” katanya ketika menjadi panel dalam program Dialog Ummah: Realiti dan Masa Depan Tabung Haji, di sini.
Mustakim turut memberi jaminan untuk terus memperkasa TH sebagai sebuah institusi kewangan Islam yang kekal relevan serta berdaya saing sekali gus mampu memberikan pulangan yang kukuh kepada pendeposit.