
KUANTAN, 3 September – Plaza Tol Pelabuhan Kuantan akan mula beroperasi dan dibuka kepada semua pengguna lebuh raya bermula pukul 6 pagi esok (Jumaat).
- Kadar tol LPT1 dan LPT2 ditetapkan 9.8 sen setiap kilometer, lebih rendah berbanding kadar satu kilometer di tempat lain.
- Persimpangan bertingkat menyediakan akses terus antara LPT2 dengan Pelabuhan Kuantan, MCKIP, Kuantan Port City dan kawasan pembangunan sekitar.
- Pembukaan dijangka menjimatkan masa sehingga 30 minit, melancarkan trafik, mengurangkan kesesakan serta memperkukuh kluster industri dan daya saing.
Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata, kadar tol bagi Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) dan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) ditetapkan pada 9.8 sen bagi setiap kilometer.
“Untuk LPT1 dan LPT2, kadar tolnya ialah 9.8 sen setiap kilometer, berbanding 11.4 sen satu kilometer di tempat lain. Jadi, kadar tol LPT1 dan LPT2 masih rendah,” katanya pada Majlis Perasmian Pembukaan Persimpangan Bertingkat Pelabuhan Kuantan, LPT2, di sini, hari ini.
Plaza tol itu dibuka selepas Persimpangan Bertingkat Pelabuhan Kuantan siap dibangunkan, yang merupakan sebahagian daripada projek Jalan KPC Port Link oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC).
Projek berkenaan membabitkan lima fasa dengan nilai keseluruhan kira-kira RM400 juta, manakala komponen Plaza Tol Pelabuhan Kuantan bernilai RM146 juta.
Persimpangan bertingkat itu menyediakan akses terus antara LPT2 dengan Pelabuhan Kuantan, Taman Industri Kuantan Malaysia-China (MCKIP), Kuantan Port City serta kawasan pembangunan utama di sekitarnya.
Sementara itu, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yakin jaringan pengangkutan yang lebih baik mampu menarik lebih ramai pelabur ke negeri itu.
“Jaringan pengangkutan ini akan menarik ramai pelabur untuk datang ke Pahang kerana kita sekarang memberi tumpuan kepada infrastruktur supaya ia memberi kebaikan, kemudahan dan keselesaan kepada pelabur.
“Lebih-lebih lagi kita dalam perancangan untuk membesarkan Pelabuhan Kuantan dan juga bandar aeroangkasa,” katanya.
Persimpangan berkenaan dibangunkan dengan reka bentuk ‘trumpet’ dan boleh diakses dari kedua-dua arah, iaitu Kuantan dan Kuala Terengganu.
Pembukaannya dijangka menjimatkan masa perjalanan sehingga 30 minit, selain melancarkan aliran trafik dan mengurangkan kesesakan di Jalan Persekutuan FT3 serta jalan utama di sekitar Gebeng dan Pelabuhan Kuantan.
Akses baharu itu turut dijangka memperkukuh kluster industri, perdagangan dan logistik, di samping meningkatkan kecekapan rantaian bekalan serta daya saing industri di Pahang.