
Kuala Lumpur, 3 September – Rang Undang-Undang (RUU) bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri telah siap untuk dibentangkan bagi bacaan kali kedua di Dewan Rakyat.
- Keputusan membawa RUU had tempoh jawatan PM ke Parlimen tertakluk kepada Ketua Majlis, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
- Pindaan had tempoh jawatan melibatkan pindaan Perlembagaan Persekutuan memerlukan sokongan majoriti dua pertiga Ahli Parlimen.
- RUU pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya turut memerlukan sokongan majoriti dua pertiga.
- Pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya dilihat dapat kurangkan persepsi pendakwaan bermotif politik; rayu Ahli Parlimen memberi pertimbangan.
Bagaimanapun menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said, keputusan untuk membawa RUU itu kepada sesi Parlimen akan datang, tertakluk kepada Ketua Majlis iaitu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya, pindaan berkaitan had tempoh jawatan Perdana Menteri itu, membabitkan pindaan Perlembagaan Persekutuan yang memerlukan sokongan majoriti dua pertiga Ahli Parlimen.
“RUU sudah siap. Ia tertakluk kepada Ketua Majlis yang membuat penentuan, sama ada kita mahu bawa untuk diundikan dalam sesi ini.
“Kedua-duanya ialah pindaan Perlembagaan, jadi kita perlukan dua pertiga,” katanya selepas merasmikan Majlis Tinjauan Pendapat Awam Mengenai Penggubalan Rang Undang-Undang Koroner di Asian International Arbitration Center (AIAC) di sini.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan, perkara sama turut terpakai bagi RUU pengasingan peranan Peguam Negara (AG) dan Pendakwa Raya (PP), yang turut memerlukan sokongan dua pertiga.
“Perkara ini memerlukan sokongan majoriti dua pertiga, dan kita tidak dapat menafikan bahawa politik tempatan turut memainkan peranan. Saya merayu, jika boleh, kepada semua Ahli Parlimen agar memberikan pertimbangan yang sewajarnya.
“Rang undang-undang berkaitan pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya ini merupakan satu langkah yang baik. Ia juga dapat membantu mengurangkan persepsi bahawa pendakwaan terhadap mana-mana kes mempunyai unsur politik,” katanya.