Pertanian Negeri Sembilan diperkasa, fokus nilai tambah dan pasaran lebih luas

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Ismail Lasim mengiringi Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir meninjau MAHA 2026./

KUALA PILAH, 3 Sept – Kerajaan Negeri Sembilan mahu sektor pertanian terus diperkasa bukan sahaja bagi menghasilkan komoditi, malah mencipta nilai lebih tinggi menerusi aktiviti hiliran, pemasaran dan pembukaan pasaran yang lebih luas.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rancangan Struktur 2040: Rembau, Kuala Pilah, Jempol dan Gemas dijangka menjadi Pusat Agropolitan untuk memperkukuh hiliran, pemasaran dan dagangan pertanian.
  • Menangani isu penuaan pengusaha melalui penggunaan teknologi seperti IoT dan sistem pengairan pintar serta pembangunan ekosistem produk agromakanan dan agropelancongan.
  • Kerjasama negeri dan persekutuan memperkukuh pembangunan kemahiran, menerima peruntukan untuk pemerkasaan agromakanan dan membina Pavilion Negeri Sembilan di MAHA.

Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim berkata, pendekatan itu diterjemahkan menerusi Rancangan Struktur Negeri Sembilan 2040 dengan Rembau, Kuala Pilah, Jempol dan Gemas dirancang sebagai Pusat Agropolitan.

Katanya, langkah itu bertujuan mengukuhkan perkhidmatan pertanian, aktiviti hiliran, pemasaran dan dagangan hasil pertanian, manakala potensi biodiversiti dan ekopelancongan di Jelebu akan terus diperkasakan.

“Dalam usaha mengembangkan sektor ini, kita juga perlu memastikan adanya penerus dalam bidang pertanian.

“Banci Pertanian Negeri Sembilan 2024 mengenal pasti isu penuaan pengusaha pertanian, dengan kumpulan berumur 60 tahun ke atas merupakan kumpulan dominan.

“Justeru, Kerajaan Negeri menyambut baik penekanan terhadap penggunaan teknologi seperti Internet of Things (IoT), sistem pengairan pintar, pembangunan ekosistem produk agromakanan, agropelancongan dan pertanian lestari,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Pavilion Negeri Sembilan sempena MAHA 2026.

Pada masa sama, pembangunan kemahiran dalam bidang pertanian, penternakan, perikanan dan keusahawanan turut diperkukuh menerusi kerjasama kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan.

Sehingga kini, Negeri Sembilan menerima peruntukan RM13.74 juta daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bagi program pemerkasaan agromakanan negara.

Pavilion Negeri Sembilan pula dibina secara kekal dengan kos hampir RM3 juta dan disiapkan dalam tempoh lapan bulan.

Pavilion berkenaan menyediakan ruang pameran, jualan dan fasiliti interaktif untuk mengetengahkan produk pertanian dan komersial negeri, teknologi pertanian, produk industri asas tani, peluang pelaburan serta agropelancongan.

Kerajaan Negeri menyasarkan 150,000 pengunjung dengan nilai jualan RM300,000 bagi MAHA 2026.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.