
SITIAWAN, 3 September- Siasatan Jabatan Alam Sekitar (JAS) berhubung kejadian ikan dan hidupan air mati di Sungai Sitiawan, Manjung di sini mendapati paras oksigen terlarut (DO) di dua lokasi sungai berkenaan berada pada tahap rendah.
- Sampel air sungai dan efluen industri dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk mengenal pasti punca kematian ikan.
- Pemeriksaan mendapati injap blower rosak di STP premis YTY Acheh; sampel efluen kumbahan tidak dapat diambil kerana kadar aliran sangat rendah.
- JAS menunggu keputusan analisis Jabatan Kimia sebelum tindakan susulan termasuk tindakan perundangan serta meneruskan pemantauan dan penguatkuasaan.
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri Perak, Teh Kok Lim berkata sampel air sungai dan efluen industri telah diambil untuk dianalisis Jabatan Kimia Malaysia bagi mengenal pasti punca kejadian.
Beliau berkata pemeriksaan dijalankan di Pelantar Wak Dol, D’ Chalet dan Tanjung Uda River Resort dengan bacaan DO masing-masing 5.86 miligram seliter, 3.79 miligram seliter dan 1.59 miligram seliter.
Teh Kok Lim berkata JAS turut memeriksa premis industri YTY Acheh dan mendapati kerosakan pada injap blower di Loji Rawatan Kumbahan (STP) premis berkenaan.
Beliau berkata sampel efluen industri diambil di takat pelepasan akhir premis untuk dipadankan dengan sampel air sungai, namun sampel efluen kumbahan tidak dapat diambil berikutan kadar aliran yang sangat rendah iaitu 0.583 meter padu sejam.
Teh Kok Lim berkata JAS kini menunggu keputusan analisis Jabatan Kimia Malaysia sebelum menentukan tindakan susulan, termasuk tindakan perundangan.
Beliau berkata pemantauan dan pemeriksaan penguatkuasaan terhadap premis berhampiran yang berpotensi mencemarkan sungai berkenaan akan diteruskan.
Kejadian ikan dan hidupan air mati di sepanjang Sungai Sitiawan dilaporkan berlaku sejak 30 Ogos lalu.