Boeing bayar denda AS$3.1 juta kepada FAA atas pelanggaran keselamatan

Pesawat Boeing 737 MAX dipasang di kilang syarikat itu di Renton, Washington/ REUTERS

WASHINGTON, 3 September – Boeing membayar denda sebanyak AS$3.1 juta kepada Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA) tahun ini, selepas agensi itu mendapati syarikat pengeluar pesawat berkenaan melakukan beberapa pelanggaran keselamatan.

RINGKASAN BERITA AI
  • FAA mendapati Boeing mencampuri kebebasan pegawai keselamatan dan mengemukakan dua pesawat yang tidak layak terbang untuk kelulusan agensi.
  • Semakan FAA menemui ratusan pelanggaran kawalan kualiti di kilang Boeing 737 Renton dan kilang Spirit AeroSystems.
  • Insiden Alaska Airlines 737 MAX 9 kehilangan bolt dan panel tercabut menggugat reputasi, menyebabkan penggantungan operasi dan had pengeluaran sementara.

FAA berkata pelanggaran itu termasuk tindakan yang mempunyai kaitan dengan insiden kecemasan melibatkan pesawat Alaska Airlines Boeing 737 MAX 9 pada 2024.

Menurut FAA, Boeing membayar keseluruhan jumlah denda yang dikenakan pada September 2025 pada Januari lalu. Bayaran itu bagaimanapun tidak pernah didedahkan kepada umum sebelum ini.

Boeing turut mengesahkan kepada Reuters bahawa pihaknya telah membayar denda berkenaan.

FAA memaklumkan Boeing didenda kerana mencampuri kebebasan pegawai keselamatan, dan mengemukakan dua pesawat untuk kelulusan agensi walaupun pesawat berkenaan didapati tidak layak terbang.

Pada 2024, FAA turut menemui ratusan pelanggaran sistem kawalan kualiti di kilang Boeing 737 di Renton, Washington, serta kilang badan pesawat 737 milik kontraktornya ketika itu, Spirit AeroSystems, di Wichita, Kansas. Pelanggaran itu dikesan antara September 2023 hingga Februari 2024.

FAA mendapati seorang pekerja Boeing menggesa rakan sekerjanya yang menjalankan tugas bagi pihak agensi itu supaya meluluskan sebuah pesawat 737 MAX bagi membolehkan syarikat memenuhi jadual penghantaran, walaupun pesawat tersebut tidak mematuhi piawaian peraturan.

Sementara itu, Senator Demokrat Amerika Syarikat, Richard Blumenthal, sebelum ini menyifatkan denda FAA itu tidak mencukupi.

Beliau berkata denda seumpama itu mudah ditanggung Boeing sebagai sebahagian daripada kos operasi dan tidak memberi kesan pencegahan yang bermakna terhadap tindakan yang boleh membahayakan keselamatan.

Blumenthal sebelum ini menyiasat isu keselamatan Boeing dan mengetuai jawatankuasa yang menyiasat insiden panel kabin pesawat Alaska Airlines tercabut ketika penerbangan.

Laporan jawatankuasa itu menunjukkan beberapa pemberi maklumat Boeing telah memnyuarakan kebimbangan mengenai proses pembuatan syarikat berkenaan.

Insiden Alaska Airlines itu, yang melibatkan sebuah Boeing 737 MAX 9 yang didapati kehilangan empat ‘bolt’ utama, menjejaskan reputasi syarikat.

Susulan kejadian itu, operasi pesawat MAX 9 digantung sementara dan FAA mengehadkan pengeluaran Boeing kepada 38 pesawat sebulan, sebelum sekatan itu ditarik balik pada Oktober 2025.

Pada Julai lalu, FAA berkata Boeing dibenarkan mengeluarkan sijil kelayakan terbang bagi semua pesawat 737 MAX dan 787 selepas agensi itu menjalankan semakan data dan keselamatan secara menyeluruh selama beberapa bulan yang menunjukkan kualiti pengeluaran yang konsisten.-REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.