
KAHERAH, 2 September – Sekurang-kurangnya 16 orang maut manakala 28 lagi cedera dalam nahas bas di Semenanjung Sinai Timur, Mesir, pada Rabu.
- Kementerian Kesihatan menghantar 20 ambulans ke lokasi antara Dahab dan Nuweiba di Sinai Selatan
- Bas membawa 43 penumpang termasuk 22 rakyat Jordan; punca nahas masih belum diketahui
- Kemalangan jalan raya di Mesir sering dikaitkan dengan pemanduan berbahaya, penyelenggaraan kenderaan lemah dan penguatkuasaan undang-undang tidak menyeluruh
Menurut Kementerian Kesihatan Mesir, 20 ambulans dikejarkan ke lokasi kejadian di laluan antara bandar pelancongan Dahab dan Nuweiba, di wilayah Sinai Selatan.
Saluran televisyen rasmi Jordan, Al-Mamlaka, melaporkan 10 daripada mangsa yang maut merupakan warga Jordan.
Bas berkenaan membawa 43 penumpang, termasuk 22 rakyat Jordan. Mangsa yang cedera menerima rawatan di hospital, namun punca nahas masih belum diketahui.
Kawasan berkenaan merupakan destinasi pelancongan popular yang terkenal dengan biodiversiti marin, keindahan alam semula jadi serta laluan pendakian di kawasan pergunungan.
Kemalangan jalan raya sering berlaku di Mesir dan antara faktor yang sering dikaitkan ialah pemanduan berbahaya, penyelenggaraan kenderaan yang lemah serta penguatkuasaan undang-undang yang tidak menyeluruh.
Bulan lalu, sekurang-kurangnya 18 orang, kebanyakannya remaja, maut selepas dua trak pikap yang membawa pekerja pertanian bertembung di utara Mesir.
Menurut agensi perangkaan negara Mesir, hampir 6,000 orang maut dalam kemalangan jalan raya di seluruh negara itu tahun lalu.-AFP