
KUALA LUMPUR, 2 September – Pengurusan air hujan bakal diperkukuh dalam memastikan kadar kenaikan paras air dapat dikurangkan pada masa akan datang.
- Analisis data mendalam, ramalan permodalan, kecerdasan buatan dan teknologi digital perlu diberi keutamaan bagi mengurangkan kenaikan paras air.
- National Conference on Stormwater Management (SWaM) 2026 menyatukan kerajaan, akademik dan industri untuk memajukan pengurusan air hujan yang mampan.
- Pengurusan air hujan adalah tanggungjawab bersama; memerlukan kerja berpasukan, kepakaran pelbagai disiplin dan pembelajaran berterusan.
- Setiap projek kerja tanah mesti ada pelan kawalan hakisan oleh jurutera profesional dan pemantauan aktif untuk lindungi sungai serta komuniti.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad dalam kenyataan memaklumkan, proses analisis yang mendalam harus dijalankan bagi mencapai objektif tersebut.
“Analisis data yang mendalam, ramalan permodalan, penggunaan kecerdasan buatan dan implementasi teknologi digital harus dititiberatkan bagi mencapai sasaran,” menurut kenyataan itu.
Kenyatan tersebut dikeluarkan bersempena dengan Perasmian National Conference on Stormwater Management (SWaM) 2026 yang menghimpunkan lebih 400 peserta daripada pelbagai sektor kerajaan, akademik, dan industri.
Dengan tema ‘Inspired by Nature, Engineered for Resilience’, persidangan itu merupakan inisiatif dalam memantapkan lagi komitmen bersama dalam memajukan pengurusan air hujan yang mampan di Malaysia.
Sementara itu Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Datuk Ir. Mohamad Radzi Abdul Talib menyatakan, pengurusan air hujan yang berkesan adalah tanggungjawab bersama, memerlukan kerja berpasukan, kepakaran pelbagai disiplin dan pembelajaran berterusan.
“Piawaian yang baik dan tenaga kerja mahir tidak membawa makna tanpa tindakan nyata di lapangan. Seiring dengan kepesatan pembangunan, pengurusan air hujan dilihat melangkau kawalan banjir untuk melindungi kuantiti dan kualiti air sepanjang hayat sesuatu projek.
“Kawalan hakisan yang lemah boleh merosakkan sungai, kemudahan awam, dan komuniti setempat. Maka sebab itulah, setiap projek kerja tanah mesti mempunyai pelan kawalan yang disediakan oleh jurutera profesional disertai pemantauan aktif oleh pasukan yang berkelayakan,” ujarnya.
Selain itu, pihak JPS Malaysia dan Pertubuhan Saliran Mesra Alam Malaysia (MSO) akan mengubah fokus daripada sekadar mengalirkan air larian permukaan kepada menyokong pembangunan bandar yang mampan dengan penyediaan latihan khusus dan pensijilan antarabangsa.
Penguatkuasaan lebih baik serta usaha bersama antara JPS Malaysia, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Kerja Raya (JKR), dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dijangka memacu ke arah tadbir urus yang lebih baik.