
KUALA KANGSAR, 2 September – Polis masih berusaha mengenal pasti identiti mayat yang ditemukan di dalam beg pakaian yang dibuang ke dalam Sungai Perak, di sini pada 15 Ogos lalu.
- Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai seorang wanita dan bukan warganegara Malaysia setelah semakan JPN.
- Beberapa spesimen dihantar ke Jabatan Forensik untuk analisis lanjut bagi membantu pengecaman mangsa.
- Kes diklasifikasikan sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan; polis menyiasat suspek dan motif.
Ketua Polis Perak Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai seorang wanita, bukan warganegara Malaysia berdasarkan semakan rekod Jabatan Pendaftaran Negara.
Menurut beliau, beberapa spesimen telah dihantar ke Jabatan Forensik untuk analisis lanjut bagi membantu proses mengenal pasti mangsa.
“Yang penting sekali bagi pihak polis adalah untuk mengenal pasti dahulu siapa mangsa ini. Sekarang ini kita belum dapat kenal pasti kerana dalam rekod Jabatan Pendaftaran Negara memang tiada.
“Jadi, kita mengesyaki mangsa bukan warganegara tempatan dan sekarang kita menunggu keputusan daripada pihak forensik,” katanya.
Polis turut menjalankan siasatan bagi mengenal pasti suspek serta motif kejadian.
Kes diklasifikasikan sebagai kes bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.