
GEORGE TOWN, 2 September – Satu pasukan siasatan khas ditubuhkan bagi menyiasat punca insiden perlanggaran feri dan kapal berhampiran Terminal Feri Pangkalan Sultan Abdul Halim (PSAH), pada Selasa.
- Hasil siasatan akan didedahkan secara menyeluruh kepada orang awam dan dijalankan secara telus serta profesional.
- Pihak berkaitan diarahkan mengumpul maklumat segera serta membantu urusan pampasan kepada mangsa terlibat.
- Seramai 21 penumpang cedera; semua dibawa ke hospital, operasi perkhidmatan feri tidak terjejas.
Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP), Datuk Yeoh Soon Hin dalam kenyataan memaklumkan, hasil siasatan akan didedahkan secara menyeluruh kepada orang awam.
“Pasukan tersebut akan menjalankan siasatan secara telus dan profesional. Pihak berkaitan turut diarahkan untuk mengumpul maklumat segera serta membantu urusan pampasan kepada mangsa terlibat.
“Operator rasmi feri juga diarahkan untuk meneliti semula prosedur operasi serta mekanisme keselamatan pengangkutan tersebut. Langkah penambahbaikan akan dilaksanakan sekiranya perlu,” menurut kenyataan itu.
Pada Selasa, seramai 21 penumpang Feri Teluk Bahang, Pulau Pinang cedera selepas berlanggar dengan kapal MV Mekar Jaya berhampiran Terminal Feri Pangkalan Sultan Abdul Halim.
Insiden tersebut berlaku ketika MV Mekar Jaya dari Dermaga Air Dalam Butterworth menuju ke Terminal Kapal Persiaran Swettenham Pier (SPCT) sebelum bertembung dengan feri yang sedang menuju ke PSAH.
Kesemua penumpang yang cedera dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut. Bagaimanapun, operasi perkhidmatan feri terus berjalan seperti biasa dengan
tidak terjejas.