Ambang pengecualian e-Invois RM3 juta beri ruang PMKS berkembang

Foto Fail RTM

KUALA LUMPUR, 2 September – Keputusan kerajaan menaikkan ambang pengecualian e-Invois daripada RM1 juta kepada RM3 juta berupaya memberi ruang kepada Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) menstabilkan aliran tunai serta memberi tumpuan kepada pertumbuhan perniagaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pengecualian mengurangkan beban kos IT dan perisian seperti ERP atau sistem POS, mengurangkan perbelanjaan pelaksanaan e-Invois.
  • Tenaga kerja terhad dapat fokus kepada operasi teras, meningkatkan khidmat pelanggan dan usaha menjana pendapatan syarikat.
  • Pasaran B2B mendorong PMKS melaksanakan e-Invois sukarela; ia mempercepat pembayaran, mengurangkan pertikaian bil dan memudahkan penutupan akaun.

Presiden Kebangsaan Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA), Datuk William Ng berkata, pendekatan itu merupakan langkah pragmatik sejajar dengan keperluan operasi perniagaan untuk terus berkembang tanpa perlu berdepan isu pematuhan teknikal pada peringkat awal.

“Perniagaan dengan hasil tahunan antara RM1 juta hingga RM3 juta sebenarnya beroperasi dengan margin keuntungan bersih yang agak tipis. Saiz tenaga kerja juga terhad dan kebanyakan PKS tidak mempunyai jabatan IT atau perakaunan khusus untuk mengendalikan keperluan e-Invois.

“Jadi, pengecualian ini dapat mengurangkan keperluan untuk menanggung perbelanjaan tambahan seperti membeli perisian baharu, menaik taraf Sistem Perancangan Sumber Perusahaan (ERP) atau sistem tempat jualan (POS), serta kos berkaitan pelaksanaan e-Invois,” katanya ketika dihubungi RTM.

Tambah beliau, langkah itu turut dapat memudahkan operasi perniagaan dengan membolehkan tenaga kerja yang terhad difokuskan kepada operasi teras, peningkatan khidmat pelanggan serta usaha menjana pendapatan syarikat.

“Dari sudut operasi pula, pasukan pengurusan yang kecil tidak lagi perlu memperuntukkan terlalu banyak masa setiap hari untuk mengesahkan dan melaporkan transaksi secara masa nyata.

“Ini membolehkan tenaga kerja yang terhad itu difokuskan kepada operasi teras, meningkatkan khidmat pelanggan, menjana pendapatan untuk syarikat dan seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut menjangkakan lebih ramai PMKS akan menyertai pelaksanaan e-Invois secara sukarela, didorong oleh keperluan pasaran, khususnya tuntutan daripada rantaian bekalan perniagaan-ke-perniagaan (B2B).

Katanya, syarikat korporat besar, syarikat multinasional (MNC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sudah melaksanakan e-Invois dan memerlukan data e-Invois daripada pembekal mereka bagi tujuan percukaian.

“Jadi, PMKS yang berhasrat mendapatkan kontrak perniagaan dalam rantaian nilai MNC dan GLC ini akan terdorong untuk menggunakan e-Invois secara lebih segera,” tambahnya

Jelas beliau, pelaksanaan e-Invois dapat mempercepatkan proses pembayaran balik, mengurangkan pertikaian berkaitan bil serta memudahkan penutupan akaun pada hujung tahun.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan nilai ambang pengecualian e-Invois bagi PMKS daripada RM1 juta kepada RM3 juta.

Langkah itu sekaligus akan memberi manfaat kepada Lebih 1.1 juta peniaga perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) bakal menerima manfaat dalam bentuk pengecualian daripada melaksana e-Invois.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.