
LONDON, 2 September – Penyerang Ukraine, Mykhailo Mudryk dipinjamkan Chelsea kepada Tottenham Hotspur bagi musim 2026/27 selepas tamat menjalani hukuman penggantungan akibat kes doping, baru-baru ini.
- Roberto De Zerbi bercadang menghidupkan semula karier Mudryk, percaya pemain itu boleh jadi penting jika mencapai versi terbaik dirinya.
- Persatuan Bolasepak England membenarkan Mudryk kembali beraksi selepas persetujuan dengan WADA dan penarikan balik rayuan di Mahkamah Timbang Tara Sukan.
- Mudryk digantung empat tahun selepas ujian 2024 mengesan meldonium, beraksi beberapa minit pramusim namun belum membuat penampilan liga musim ini.
Pemain sayap berusia 25 tahun itu akan berusaha menghidupkan semula kariernya bawah kendalian Roberto De Zerbi, bekas jurulatihnya di Shakhtar Donetsk, yang mengambil alih tugas sebagai pengurus Spurs pada Mac lalu.
Beliau meletakkan harapan tinggi terhadap Mudryk dan pihaknya bertanggungjawab membantu pemain itu mencapai prestasi terbaik.
“Saya akan menuntut banyak daripada Misha (Mudryk) dan menjadi tanggungjawab kami untuk membantunya menemui versi terbaik dirinya. Jika kami berjaya melakukannya, dia boleh menjadi pemain yang sangat penting buat kami, ” kata De Zerbi dalam kenyataan.
Persatuan Bolasepak England (FA) membenarkan Mudryk kembali beraksi pada akhir Julai selepas mencapai persetujuan dengan Agensi Antidoping Dunia (WADA), yang membawa kepada penarikan balik rayuan pemain Ukraine itu di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
Mudryk sebelum ini digantung selama empat tahun selepas gagal ujian doping pada 2024 yang mengesan kehadiran bahan terlarang, iaitu meldonium dalam kepekatan rendah.
Beliau beraksi beberapa minit bersama Chelsea dalam aksi pramusim pada Ogos, namun masih belum membuat penampilan dalam saingan liga musim ini.
Pemain antarabangsa Ukraine itu menyertai Chelsea daripada Shakhtar Donetsk dengan nilai perpindahan £62 juta pound (AS$83 juta) pada Januari 2023 dan kali terakhir membuat penampilan rasmi pada November 2024. – AFP