
MERSING, 1 Sept – Dua maut manakala tujuh lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua bot di Kuala Sungai Mersing, malam tadi.
- Perlanggaran antara dua bot berlaku pada pukul 8:15 malam di Kuala Sungai Mersing, kira-kira 800 meter dari Jeti Mersing.
- Satu bot membawa enam orang termasuk jurumudi berusia 38 tahun dan pembantu 13 tahun; bot kedua membawa tiga orang termasuk pengendali 34 tahun.
- Kes disiasat mengikut Seksyen 304A dan Seksyen 280 Kanun Keseksaan; Jabatan Laut juga diminta jalankan siasatan mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.
Ketua Polis Johor, Datuk AB Rahaman Arsad mengesahkan, kejadian berlaku pada pukul 8:15 malam membabitkan bot yang dinaiki enam orang dipercayai dalam perjalanan dari Pulau Besar ke Jeti Mersing.
“Bot dikendalikan seorang jurumudi lelaki berusia 38 tahun dan pembantunya iaitu remaja lelaki berusia 13 tahun, manakala terdapat empat penumpang masing-masing merupakan lelaki berumur 32 tahun dan empat wanita berusia 21 hingga 32 tahun,” jelasnya.
“Sebuah lagi bot dinaiki tiga orang melibatkan pengendali bot iaitu lelaki berumur 34 tahun dan pembantunya iaitu lelaki berusia 35 tahun. Ini termasuk seorang penumpang lelaki berusia 28 tahun dipercayai dalam perjalanan menuju Pulau Rawa,” ujarnya.
“Pelanggaran berlaku di kawasan Kuala Sungai Mersing pada jarak 800 meter dari Jeti Mersing. Dua mangsa disahkan meninggal dunia iaitu seorang pengendali bot dan seorang penumpang,” katanya.
Mangsa yang cedera kini dirawat di Hospital Mersing, Hospital Sultan Ismail dan Hospital Pasir Gudang, Johor Bahru.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 304 A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian dengan perbuatan cuai atau gopoh. Turut disiasat mengikut peruntukan 280 Kanun Keseksaan iaitu mengendalikan perahu secara gopoh atau cuai selain siasatan laporan mati mengejut,” tegasnya.
Polis turut mengesyorkan Jabatan Laut menjalankan siasatan mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.