
SHAH ALAM, 1 SEPTEMBER – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sedang merancang untuk memperkenalkan program pemerkasaan kanak-kanak bagi memberi pendedahan kepada kemahiran praktikal yang berpotensi menjana pendapatan pada masa depan.
- Fokus pada pembangunan kemahiran insaniah dan kemahiran ekonomi dalam kalangan kanak-kanak, khususnya mereka yang masih bersekolah.
- Pengenalpastian produk yang boleh dipelajari dan dikomersialkan membolehkan kanak-kanak menjana pendapatan serta merancang masa depan.
- Program dijangka bermula tahun ini di Parlimen Santubong, Sarawak, tertakluk kelulusan, selaras dengan jadual persekolahan dan perbincangan bersama Jabatan Pendidikan.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, program berkenaan akan memberi tumpuan kepada pembangunan kemahiran insaniah dan kemahiran ekonomi dalam kalangan kanak-kanak, khususnya mereka yang masih bersekolah.
“Kita telah mengenal pasti beberapa produk yang boleh dipelajari dan seterusnya dikembangkan untuk tujuan komersial. Usaha ini penting kerana ia bukan sahaja dapat membantu meningkatkan kemahiran, malah memberi peluang kepada mereka menjana pendapatan serta merancang masa depan dengan lebih baik.
“Terdapat pelbagai produk yang boleh dihasilkan dan dikomersialkan di pasaran. Kemahiran berkenaan perlu didedahkan kepada kanak-kanak sejak awal supaya mereka dapat mempelajarinya dan mengembangkan potensi masing-masing untuk masa hadapan.
Program ini dijangka dimulakan tahun ini. Bagaimanapun, pihak kami masih menunggu kelulusan dan penyelarasan bersama Kementerian Pendidikan bagi menentukan masa yang sesuai untuk pelaksanaannya. Sebagai permulaan, program ini akan dilaksanakan di kawasan Parlimen Santubong, Sarawak,” katanya selepas merasmikan Program Hari Wanita Kebangsaan 2026 Yayasan Kepimpinan Wanita (WLF) dengan kerjasama CelcomDigi, di sini.
Tambah Datuk Seri Nancy, pelaksanaannya perlu mengambil kira jadual persekolahan bagi memastikan program berkenaan tidak mengganggu sesi pembelajaran.
Sehubungan itu, pihaknya sedang mempertimbangkan untuk melaksanakan program itu ketika musim cuti sekolah, selain mengambil kira keadaan jerebu yang berlaku ketika ini.
Setakat ini, perbincangan awal bersama Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak telah dilaksanakan bagi membolehkan pelaksanaan program berkenaan diselaraskan dengan sewajarnya.