
PUTRAJAYA, 31 Ogos -Semangat patriotik dan rasa bangga sebagai rakyat Malaysia jelas terpancar dalam kalangan ribuan pengunjung yang hadir memeriahkan Sambutan Hari Kebangsaan ke-69 di Dataran Putrajaya hari ini.
- Rakyat tempatan, warga Malaysia dari luar negara dan pelancong asing turut menyaksikan acara berwarna-warni.
- Pengunjung kali pertama, seperti Iffa, teruja menyaksikan persembahan udara secara langsung.
- Perpaduan kepelbagaian bangsa, agama dan latar belakang diraikan sebagai satu keluarga besar Malaysia.
- Pelancong asing kagum dengan suasana aman, keramahan rakyat dan berharap kembali untuk sambutan akan datang.
Bukan sahaja rakyat tempatan, malah rakyat Malaysia yang menetap di luar negara serta pelancong asing turut mengambil peluang menyaksikan sendiri acara penuh warna-warni yang berlangsung dalam suasana meriah itu.
Bagi pengunjung dari Pulau Pinang, Iffa Nadzira Azhar, sambutan kali ini cukup bermakna kerana merupakan pengalaman pertamanya menyaksikan acara Hari Kebangsaan secara dekat.
“Saya amat teruja dan menantikan persembahan udara. Jika sebelum ini hanya tengok di TV, kali ini secara langsung di depan mata,” katanya.
Sementara itu, rakyat Malaysia yang sebelum ini menetap di Auckland, Armie Santana, berkata beliau berasa gembira dapat pulang ke tanah air dan bersama-sama menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan buat kali pertama.
“Semua orang hadir dan turun padang untuk perarakan Hari Kebangsaan. Ia sangat mengujakan dan saya sangat suka tenaga serta suasana apabila semua orang hadir hari ini.
“Semua orang betul-betul memberikan yang terbaik. Saya sangat bangga menjadi rakyat Malaysia,” katanya.
Bagi Celes Loh dari Sarawak pula, sambutan Hari Kebangsaan menjadi ruang untuk rakyat menghayati kepelbagaian latar belakang, bangsa dan agama yang menjadi kekuatan negara.
“Saya sangat bangga sebagai rakyat Malaysia kerana walaupun kita datang daripada latar belakang, bangsa dan agama yang berbeza, kita tetap berada dalam Malaysia yang sama.
“Kita semua rakyat Malaysia dan tanpa mengira perbezaan, kita tetap bersatu sebagai satu bangsa,” katanya.
Turut berkongsi pengalaman ialah Nazirul Mubin Abdullah Hanif dari Taiping, Perak, yang sanggup bertolak seawal 3 pagi bersama keluarganya semata-mata untuk merasai kemeriahan sambutan di ibu negara.
Katanya, pengorbanan dan usaha untuk hadir bersama ribuan rakyat Malaysia ternyata berbaloi apabila berpeluang menyaksikan sambutan yang cukup meriah.
“Kali ini saya menyambut Hari Kebangsaan di peringkat Malaysia dan saya rasa cukup bangga sebab kita tengok ramai rakyat Malaysia turun berpusu-pusu datang ke sini.
“Kami pun datang seawal 3 pagi… jadi usaha kami untuk datang ke sini rasa cukup berbaloi,” katanya.
Kemeriahan sambutan itu turut menarik perhatian pelancong asing termasuk Gabriel Pius dari Nigeria yang menyifatkan pengalaman menyaksikan acara berkenaan sebagai sesuatu yang luar biasa.
Beliau turut kagum dengan suasana aman serta keramahan rakyat Malaysia sepanjang berada di negara ini.
Sementara itu, pelancong dari Jerman, Vasco Krentzlin, berkata beliau teruja menyaksikan pelbagai persembahan menarik sempena sambutan berkenaan dan berharap dapat kembali ke Malaysia untuk menyaksikan sambutan Hari Kebangsaan pada tahun-tahun akan datang.
“Ya, kami sangat ingin melihat Hari Kebangsaan lagi. Mungkin untuk yang ke-70 tahun depan,” katanya.
Kemeriahan sambutan itu bukan sahaja mencerminkan semangat patriotik rakyat Malaysia, malah memperlihatkan kepelbagaian masyarakat yang bersatu hati meraikan Hari Kebangsaan sebagai satu keluarga besar Malaysia.