Ong Kian Ming letak jawatan ahli DAP, tidak bertanding PRU16

Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 31 Ogos – Bekas Ahli Parlimen (MP) Bangi, Dr Ong Kian Ming mengumumkan peletakan jawatan sebagai ahli DAP, berkuat kuasa hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Menghargai peluang berkhidmat sejak menyertai DAP pada 2012, termasuk jawatan Parlimen, Timbalan Menteri dan Jawatankuasa DAP.
  • Merekamkan penghargaan khas kepada Tony Pua dan Lim Guan Eng atas sokongan serta peluang dicalonkan dan dilantik.
  • Tidak merancang menyertai mana-mana parti lain dalam masa terdekat dan tidak berniat bertanding pada PRU16.
  • Akan terus berkhidmat melalui podcast 'Are We OK', jawatan penasihat, kerjasama sehaluan, dan akan bantu kempen Khairy jika diberi kerusi.

Dalam hantaran terbaharunya menerusi Facebook, beliau memaklumkan keputusan itu kepada Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook, serta Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Khoo Poay Tiong.

Dr Ong berkata, beliau bersyukur kerana diberi peluang menyumbang kepada parti dan negara sejak menyertai DAP pada 2012, termasuk sebagai Ahli Parlimen Serdang dari 2013 hingga 2018 dan Ahli Parlimen Bangi dari 2018 hingga 2022.

Beliau turut pernah memegang jawatan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dari 2018 hingga 2020, selain dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP bagi tempoh 2019 hingga 2022 dan dipilih sebagai Ahli Jawatankuasa Negeri DAP Selangor dari 2018 hingga 2024.

Dalam hantaran sama, Dr Ong merakamkan penghargaan khusus kepada Tony Pua yang mengajaknya menyertai DAP serta membimbingnya dalam usaha berkhidmat kepada parti dan negara.

Beliau turut berterima kasih kepada Lim Guan Eng kerana memberi peluang untuk dicalonkan di kerusi Parlimen Serdang dan Bangi serta dilantik sebagai Timbalan Menteri ketika Lim menjadi Setiausaha Agung DAP.

Dr Ong berkata, beliau tidak merancang menyertai mana-mana parti politik lain dalam masa terdekat dan tidak berniat untuk bertanding sebagai calon pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Bagaimanapun, beliau menegaskan akan kekal dengan komitmen yang dibuat pada 10 Januari lalu untuk membantu Khairy Jamaluddin berkempen pada PRU16 sekiranya bekas Menteri Kesihatan itu diberikan kerusi untuk bertanding.

Menurutnya, beliau akan meneruskan khidmat kepada negara menerusi pelbagai platform lain, termasuk podcast miliknya, ‘Are We OK’, jawatan penasihat yang disandang serta kerjasama dengan individu yang mempunyai minat dan pemikiran yang sama.

Dr Ong mengakhiri hantaran tersebut dengan ucapan “Selamat Hari Merdeka!” sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-69.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.