Sultan Pahang berkenan berangkat ke sambutan Hari Kebangsaan peringkat Negeri Pahang

Foto BERNAMA

KUANTAN, 31 Ogos – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, serta Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah berkenan berangkat ke sambutan Hari Kebangsaan Ke-69 peringkat Negeri Pahang di sini, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kibaran Jalur Gemilang gergasi dan bendera Pahang dari udara memukau lebih 20 ribu pengunjung, menyemarakkan suasana sambutan.
  • Aksi penerjunan PASKAU dari ketinggian kira-kira 6 ribu kaki mencipta detik bersejarah dan diiktiraf dalam Malaysia Book of Records.
  • Dua helikopter AW139 membawa 18 penerjun, bendera gergasi 4x6 meter dipisah pada kira-kira 1,000 kaki bagi pendaratan selamat di Padang MBK 4.

Pada acara sambutan tersebut, kibaran Jalur Gemilang gergasi bersama bendera Pahang dari ruang udara mencuri tumpuan lebih 20 ribu pengunjung.

Aksi penuh patriotik itu dilakukan anggota Pasukan Khas Udara, (PASKAU) menerusi penerjunan dari ketinggian kira-kira 6 ribu kaki, sekali gus mencipta detik bersejarah apabila diiktiraf dalam Malaysia Book of Records.

Bagi menjayakan aksi berkenaan, dua buah helikopter AW139 dari No. 3 Skuadron, Pangkalan Udara Butterworth, membawa seramai 18 penerjun PASKAU.

Penerjun membawa bendera gergasi berukuran 4×6 meter, dengan berat kira-kira 8 kilogram, untuk dikibarkan bersama bendera negeri Pahang ketika berada di udara.

Kedua-dua bendera berkenaan kemudiannya dipisahkan pada ketinggian kira-kira 1,000 kaki, bagi membolehkan penerjun melaksanakan proses pendaratan dengan selamat di Padang MBK 4, Kemunting di Kuantan.

Aksi berkenaan mendapat sorakan dan tepukan gemuruh orang ramai yang memenuhi lokasi sambutan, sekali gus menyemarakkan lagi semangat patriotisme dan kecintaan terhadap negara.

Menerusi sesi lintas hormat segmen udara pula, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) turut menampilkan aset udara negara yang menjadi antara tarikan utama sambutan.

Dua pesawat Sukhoi SU-30MKM dan dua pesawat F/A-18D Hornet dari Pangkalan Udara Gong Kedak melakukan lintasan hormat di ruang udara lokasi sambutan.

Lintasan empat pesawat pejuang berkenaan mendapat perhatian dan sorakan pengunjung, selain memperlihatkan ketangkasan serta keupayaan aset udara TUDM dalam mempertahankan kedaulatan ruang udara negara.

Dalam pada itu, pasangan diraja, Sultan dan Tengku Ampuan Pahang, turut berkenan meluangkan masa kira-kira 10 minit bagi beramah mesra dan menyantuni rakyat sebelum berangkat pulang.

Penyertaan pelbagai kontinjen, agensi kerajaan dan pasukan keselamatan menjadikan sambutan tahun ini berlangsung dalam suasana penuh meriah dan bersemangat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.