Jepun dilanda hujan lebat, tiga bandar di Fukui keluar amaran tahap tertinggi

Agensi Meteorologi Jepun (JMA) mengeluarkan amaran kecemasan hujan lebat tahap 5 / Foto REUTERS

TOKYO, 30 Ogos – Agensi Meteorologi Jepun (JMA) mengeluarkan amaran kecemasan hujan lebat tahap 5, iaitu tahap tertinggi, bagi tiga bandar di Wilayah Fukui selepas hujan luar biasa lebat menyebabkan banjir yang meningkatkan risiko tanah runtuh, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Amaran diturunkan kepada tahap 4 pada 11.40 pagi waktu tempatan.
  • Pihak meteorologi memberi amaran cuaca boleh mengancam nyawa, serta risiko banjir, limpahan sungai dan tanah runtuh.
  • Beberapa sungai melimpah, banjir dilaporkan dan beberapa kediaman dinaiki air melepasi aras lantai.
  • Jumlah hujan rekod di beberapa kawasan: Harue 429.5 mm, Katsuyama 402.5 mm, Miyama 364.5 mm.

Amaran itu melibatkan bandar Fukui, Ono dan Katsuyama sebelum diturunkan kepada tahap 4 pada 11.40 pagi waktu tempatan.

JMA sebelum itu memberi amaran bahawa keadaan cuaca di kawasan berkenaan boleh mengancam nyawa, selain risiko banjir di kawasan rendah, limpahan sungai dan tanah runtuh.

Hujan lebat yang berterusan sejak malam Sabtu menyebabkan beberapa sungai melimpah dan banjir dilaporkan di beberapa kawasan.

Menurut laporan pihak berkuasa tempatan, satu kediaman di Ono dan Katsuyama mengalami banjir sehingga melepasi aras lantai, manakala empat lagi kediaman dilaporkan dinaiki air pada bahagian bawah.

Satu kejadian tanah runtuh turut dilaporkan di bandar Fukui.

Jumlah hujan dalam tempoh 24 jam sehingga pagi Ahad mencecah 350.5 milimeter di Katsuyama, manakala jumlah terkumpul sejak hujan bermula turut mencatat rekod baharu di beberapa kawasan.

Di Harue, bandar Sakai, jumlah hujan direkodkan sebanyak 429.5 milimeter, manakala Katsuyama menerima 402.5 milimeter dan daerah Miyama di Fukui merekodkan 364.5 milimeter.

Pihak berkuasa meteorologi menggesa penduduk terus berwaspada terhadap risiko tanah runtuh, banjir dan limpahan sungai meskipun amaran tahap 5 telah diturunkan.

Penduduk turut dinasihatkan supaya menjauhi sungai, terusan pengairan dan jalan raya yang dinaiki air bagi mengelakkan kejadian tidak diingini. – REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.