Tembakan di Pesta Rave Switzerland, seorang maut lima cedera

Lokasi serangan tembakan di sebuah pesta rave di Switzerland / Foto AFP

AARAU, 30 Ogos – Seorang wanita maut manakala lima lagi cedera selepas beberapa lelaki bersenjata melepaskan tembakan di sebuah pesta rave di sini, awal pagi Ahad.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tembakan berlaku sebelum 3 pagi berhampiran Aarauer Rave, pesta tekno tahunan yang dihadiri kira-kira 3,500 orang.
  • Polis kini memburu suspek tidak dikenali; motif dan keadaan sebenar masih dalam siasatan, jumlah suspek dan jenis senjata belum dapat disahkan.
  • Operasi polis berskala besar termasuk anggota bersenjata dikerah sehingga 30 kilometer dan siasatan bersama polis Freiburg, Jerman.

Polis Switzerland kini memburu suspek yang masih belum dikenal pasti selepas kejadian yang jarang berlaku di negara itu.

Tembakan berlaku sebelum 3 pagi waktu tempatan berhampiran lokasi Aarauer Rave, pesta muzik tekno tahunan yang dihadiri kira-kira 3,500 orang di litar lumba Aarau sejak petang Sabtu hingga pagi Ahad.

Polis berkata, seorang wanita berusia 22 tahun meninggal dunia akibat kecederaan di tempat kejadian.

Lima lagi mangsa, terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita berusia antara 24 hingga 27 tahun, dibawa ke hospital.

Polis berkat,a operasi mencari suspek sedang dijalankan, manakala motif dan keadaan sebenar kejadian masih dalam siasatan.

Pihak berkuasa masih belum dapat mengesahkan jumlah suspek atau jenis senjata api yang digunakan.

Operasi polis berskala besar turut digerakkan di kawasan sekitar dan lokasi berdekatan sebagai langkah berjaga-jaga.

Anggota bersenjata ditempatkan di lokasi kejadian, stesen kereta api serta lebuh raya sehingga kira-kira 30 kilometer dari Aarau.

Siasatan turut dijalankan dengan kerjasama polis Freiburg, Jerman, memandangkan sempadan negara itu hanya beberapa puluh kilometer dari lokasi kejadian.

Kes tembakan besar-besaran jarang berlaku di Switzerland walaupun pemilikan senjata api mempunyai sejarah yang panjang di negara itu.

Kejadian serupa yang besar kali terakhir berlaku pada 2001 di Zug apabila seorang lelaki bersenjata membunuh 14 anggota parlimen dan kerajaan tempatan sebelum membunuh diri. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.