
KUALA LUMPUR, 30 Ogos – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) meneruskan pemberian insentif berjumlah RM20,000 kepada atlet yang berjaya memecahkan rekod kebangsaan dalam acara yang dipertandingkan pada Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2026.
- KPT mencungkil bakat baharu mahasiswa untuk diketengahkan ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
- Dasar "podium dan ijazah" memberi peluang kecemerlangan sukan tanpa mengabaikan pendidikan akademik mahasiswa.
- SUKIPT 2026 menghimpunkan 7,697 atlet daripada 64 kontinjen, menawarkan 229 pingat emas serta sokongan pegawai dan sukarelawan.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, insentif itu merupakan antara langkah KPT bagi mencungkil bakat baharu dalam kalangan mahasiswa untuk diketengahkan ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
“Antara yang paling utama ialah bagi atlet yang dapat memecahkan rekod kebangsaan pada kali ini, mereka akan ditawarkan sebanyak RM20,000.
“Saya harap di sini kita dapat mencungkil bakat-bakat dalam bidang-bidang sukan yang dipertandingkan itu, bagi kita meletakkan mereka ini di peringkat kebangsaan dan juga di peringkat antarabangsa,” katanya pada sidang media selepas merasmikan SUKIPT 2026 di Universiti Malaya, di sini pada Sabtu.
Tambah Datuk Seri Dr. Zambry, inisiatif berkenaan selaras dengan dasar KPT menerusi konsep “podium dan ijazah”, dengan memberi peluang kepada mahasiswa mencapai kecemerlangan dalam sukan tanpa mengabaikan pendidikan akademik.
KPT juga turut menyediakan laluan khas pengambilan ke institusi pendidikan tinggi kepada atlet berpotensi sebagai sebahagian daripada usaha membangunkan bakat sukan negara.
“Kita bukan hanya mendidik daripada segi akademik, tetapi juga mereka yang berpotensi untuk kita bina mereka dalam bidang sukan, akan kita berikan keutamaan-keutamaan itu,” jelas beliau.
Terdahulu, SUKIPT 2026 menghimpunkan seramai 7,697 atlet daripada 64 kontinjen membabitkan universiti awam dan swasta, politeknik, kolej komuniti dan institusi pendidikan tinggi lain.
Kejohanan edisi ketujuh yang berlangsung dari 28 Ogos hingga 6 September itu menawarkan 229 pingat emas dan disokong lebih 2,000 pegawai teknikal serta 750 sukarelawan.