
ISKANDAR PUTERI, 30 Ogos – Johor Darul Takzim (JDT) membaham Star City FC 7-0 dalam aksi Liga Super 2026/2027 yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, disini, malam tadi.
- Bergson Da Silva mencipta hatrik, menjaringkan gol pada minit ke-17, ke-35 dan ke-77.
- Gol tambahan oleh Marcos Guilherme, Kevin Medina, Shahab Zahedi dan Carlos Akapo memperkukuh kemenangan JDT.
- Ketua jurulatih Xisco Munoz puji persembahan separuh masa pertama, akui perlu perbaiki serangan dan pertahanan serta fokus pemulihan.
Perlawanan menyaksikan penyerang JDT, Bergson Da Silva, mencipta ‘hatrick’ dengan meledak tiga gol pada perlawanan tersebut.
Separuh masa pertama menyaksikan, Bergson menjaringkan gol pada minit ke-17 sebelum menambah pada minit ke-35.
Manakala Marcos Guilherme, menjaringkan gol pada minit ke-31, Kevin Medina minit ke-42 dan Shahab Zahedi, minit ke- 45.
Gol tuan rumah pada separuh masa kedua, dijaringkan Carlos Akapo pada minit ke-68, sebelum Bergson melengkapkan ‘hatrick’nya pada minit ke-77.
Ketua Jurulatih JDT, Xisco Munoz menyifatkan anak buahnya mempamerkan permainan cemerlang, terutama pada separuh masa pertama.
Bagaimanapun, beliau akui pasukan masih mempunyai ruang untuk penambahbaikan termasuk memperkukuh serangan serta pertahanan.
“Kami mengawal permainan dalam beberapa situasi penting. Pada separuh masa kedua, permainan lebih seimbang dan kami masih boleh memperbaiki beberapa perkara dengan lebih baik.
” Tetapi saya fikir kami berada di landasan yang baik. Kami perlu terus berusaha sekarang kami cuba fokus dengan melakukan pemulihan bagi menghadapi perlawanan penting tidak lama lagi,” katanya selepas tamat perlawanan.
Sementara itu, Ketua Jurulatih Star City FC, Mehmed Durakovic menghargai usaha yang diperjuangkan pemainnya sehingga tamat perlawanan.
” Saya fikir kami bermula dengan baik, terutama dalam tempoh 20 hingga 25 minit pertama dan kemudian kami melakukan kesilapan.
“Selepas itu, keadaan seolah-olah sedikit sukar kerana mereka mempunyai beberapa pemain yang sangat, berbakat. Jadi, memang tidak mudah,” katanya.