
SERDANG, 29 Ogos – Sembilan jenis sambal warisan tradisi negara kini dihimpunkan menerusi platform ‘Pekan Sambal’ bagi memperluas pasaran produk berasaskan cili tempatan, termasuk ke peringkat antarabangsa.
- Inisiatif menghubungkan rantaian nilai dari peladang cili hingga pengusaha hiliran, meningkatkan nilai tambah dan potensi pendapatan petani.
- MARDI dan agensi telah membimbing hampir 200 usahawan makanan dari peringkat kecil hingga jutawan, menggalakkan pertumbuhan industri.
- Rangkaian kedai fizikal dirancang di pusat beli belah dan program di London akan membuka peluang eksport serta mempromosi sambal warisan ke peringkat global.
Inisiatif itu dilihat sebagai penanda aras baharu dalam industri agromakanan negara dengan menghimpunkan pelbagai sambal ikonik tempatan di bawah satu ekosistem perniagaan yang lebih tersusun dan inklusif.
Ketua Pengarah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Datuk Dr. Mohamad Zabawi Abdul Ghani berkata, inisiatif itu penting dalam menghubungkan rantaian nilai daripada peladang cili tempatan hingga kepada pengusaha produk hiliran.
Menurutnya, rantaian berkenaan bukan sahaja meningkatkan nilai tambah hasil pertanian tempatan, malah berpotensi menambah pendapatan petani melalui permintaan pasaran yang lebih stabil.
“Sehingga kini, kita telah membimbing tidak kurang daripada 200 usahawan makanan di pelbagai peringkat, daripada pengusaha kecil-kecilan sehinggalah yang bergelar jutawan.
“Kemunculan sembilan jenis sambal warisan ini serta peningkatan permintaan pasaran dijangka memberi limpahan kesan positif secara tidak langsung kepada para petani, khususnya pengusaha tanaman cili tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Pekan Sambal yang disempurnakan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Isham Ishak, sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Pekan Sambal dirancang untuk berkembang sebagai jenama besar dengan konsep seumpama rangkaian kedai serbaneka moden yang menghimpunkan pelbagai produk tempatan, khususnya sambal.

Antara sambal yang dihimpunkan ialah sambal belimbing hitam, sambal asam rom dan sambal belacan.
Premis fizikal Pekan Sambal dirancang untuk diwujudkan di pusat beli-belah utama di seluruh negara bagi memudahkan penggemar makanan pedas mendapatkan pelbagai produk sambal warisan di satu lokasi.
Inisiatif itu turut dirancang untuk diperluas ke pasaran Eropah menerusi program Pekan Sambal di London pada tahun depan.
Langkah berkenaan menunjukkan produk berasaskan cili tempatan mempunyai potensi besar untuk menembusi pasaran eksport dan diketengahkan sebagai produk makanan warisan Malaysia di peringkat global.