Bahasa Melayu asas penyatuan rakyat – PM

Datuk Seri Anwar / Foto RTM

PERMATANG PAUH, 29 Ogos – Penguasaan bahasa Melayu perlu terus diperkasa sebagai asas penyatuan rakyat, namun perkara itu tidak seharusnya menghalang penguasaan bahasa lain yang mampu meningkatkan peluang dalam bidang pendidikan dan ekonomi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perdana Menteri menggesa seluruh rakyat menguasai bahasa Melayu dengan baik.
  • Penguasaan bahasa Inggeris perlu dipertingkatkan kerana penting di peringkat global.
  • Penguasaan pelbagai bahasa, termasuk Cina dan Tamil, melengkapkan potensi serta membuka peluang pendidikan dan ekonomi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi ucapannya dalam Kemuncak Ambang Merdeka Sahabat MADANI di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Permatang Pauh menggesa seluruh rakyat Malaysia menguasai bahasa Melayu dengan baik.

Pada masa sama, beliau berkata penguasaan bahasa Inggeris juga perlu dipertingkatkan memandangkan bahasa itu penting dalam peringkat global.

Katanya, penguasaan pelbagai bahasa sebaliknya menjadi pelengkap dalam meningkatkan potensi rakyat serta membuka lebih banyak peluang dalam pelbagai bidang.

“Tetapi kita juga tahu bahasa Inggeris harus dikembangkan. Ini bahasa yang berkembang sebagai bahasa penting di dunia. Maka sistem kita harus menerima, bukan menggantikan bahasa Melayu, tetapi sebagai pelengkap dan menambah penguasaan bahasa.

“Dan kita tahu, sebahagian daripada kita mahu meningkatkan penguasaan bahasa Cina dan bahasa Tamil. Bahasa Cina kini berkembang sebagai bahasa ekonomi rantau yang penting.

“Kalau saya katakan saya galakkan anak-anak menguasai bahasa Cina, itu syaratnya yang pertama, penguasaan bahasa Melayu cukup baik. Bahasa Cina, bahasa rantau,” katanya.

Program tersebut dihadiri kira-kira 2,000 peserta terdiri daripada golongan pelajar.

Turut hadir, Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari serta Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.