METMalaysia ramal ribut petir, hujan dan jerebu pada 31 Ogos

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 28 Ogos – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan ramalan cuaca khas bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan 2026 yang menjangkakan beberapa negeri mengalami ribut petir, hujan dan jerebu pada 31 Ogos ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ribut petir dijangka sebelah pagi di Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.
  • Ribut petir pada sebelah petang di Perak, Pahang, Terengganu dan Kelantan; hujan malam di Pahang, Terengganu, Kelantan.
  • Jerebu sepanjang hari di Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan, beberapa kawasan Sarawak serta Pantai Barat Sabah.
  • MetMalaysia menasihati orang ramai menyemak ramalan cuaca lokasi masing-masing dan mengambil langkah berjaga-jaga.

Menurut hantaran grafik di Facebook MetMalaysia malam ini, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor dijangka mengalami ribut petir pada sebelah pagi, manakala Perak, Pahang, Terengganu dan Kelantan pada sebelah petang.

Pahang, Terengganu dan Kelantan pula dijangka menerima hujan pada sebelah malam, manakala Perlis, Kedah dan Pulau Pinang diramal cerah sepanjang hari.

Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan pula dijangka mengalami keadaan jerebu sepanjang hari.

Pedalaman dan Sandakan, Sabah diramal mengalami ribut petir dan hujan sepanjang hari, manakala Tawau mengalami ribut petir pada sebelah pagi sebelum hujan pada malam dan Pantai Barat Sabah pula berdepan keadaan jerebu sepanjang hari.

Sementara itu, di Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah, Kapit, Bintulu dan Miri, Sarawak dijangka berjerebu sepanjang hari.

Bagaimanapun pada sebelah malam, Kapit dan Miri diramal hujan dan Limbang dilanda ribut petir di sebelah petang serta hujan pada malam.

MetMalaysia menerusi hantaran berasingan memaklumkan kebanyakan kawasan di Lembah Klang dan Pantai Barat Semenanjung dijangka mengalami keadaan jerebu pada malam ambang Hari Kebangsaan 2026, Ahad ini.

Menerusi grafik ramalan cuaca khas yang dikemas kini malam ini, keadaan itu dialami Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Labuan dan Sarawak, serta Kudat dan Pantai Barat Sabah.

Menurut MetMalaysia, negeri lain seperti Perak, Pahang, Terengganu, Kelantan serta beberapa kawasan di Sabah termasuk pedalaman, Sandakan dan Tawau kemungkinan dilanda hujan pada malam ambang Hari Kebangsaan, manakala Perlis, Kedah dan Pulau Pinang menikmati cuaca baik.

MetMalaysia turut menasihati orang ramai yang menghadiri sambutan ambang Hari Kebangsaan atau perarakan Hari Kebangsaan supaya menyemak ramalan cuaca di lokasi masing-masing serta mengambil langkah berjaga-jaga sekiranya berlaku perubahan cuaca.- BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.