Pemansuhan AUKU buka ruang bentuk generasi pemimpin berwibawa – PM

Foto BERNAMA

BUKIT MERTAJAM, 28 Ogos – Pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) perlu dimanfaatkan untuk membentuk pemikiran yang lebih matang, kreatif dan kritis dalam kalangan mahasiswa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kebebasan mahasiswa mesti disertai keupayaan menilai isu berdasarkan fakta dan ilmu, bukannya dipengaruhi sentimen.
  • Pemimpin politik bertanggungjawab mendidik masyarakat berasaskan fakta dan ilmu serta mengelak eksploitasi sentimen, termasuk perkauman.
  • Pendidikan harus menggalakkan daya cipta, kreativiti dan penilaian kritis bagi membentuk pemikiran matang.
  • Mahasiswa perlu memanfaatkan kebebasan secara bertanggungjawab untuk melahirkan generasi pemimpin yang lebih matang dan berwibawa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kebebasan yang diberikan kepada mahasiswa juga perlu disertai dengan keupayaan untuk menilai sesuatu isu berasaskan fakta dan ilmu, bukannya dipengaruhi semata-mata oleh sentimen.

Menurut beliau, pendekatan itu penting dalam usaha melahirkan generasi pemimpin yang berwibawa serta mempunyai daya fikir yang matang.

Tegasnya, pemimpin politik juga mempunyai tanggungjawab untuk mendidik masyarakat berdasarkan fakta dan ilmu, selain mengelakkan pendekatan yang mengeksploitasi sentimen, termasuk sentimen perkauman.

“Kerana saya tidak mahu mengongkong. Saya mahu mendidik anak-anak dengan daya cipta dan kreativiti, dengan penilaian dan pandangan yang kritis.

“Kalau tidak, ia hanya akan memperbodohkan rakyat. Kita lihat orang politik bercakap sembarangan, jahil dan tidak berilmu, tetapi rakyat hanya mengikut sentimen.

“Pimpinan politik harus mendidik berdasarkan fakta dan ilmu, bukan berdasarkan sentimen,” katanya ketika menjawab soalan daripada seorang mahasiswa dalam sesi dialog pada program Sesi Temu Anwar di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tuanku Bainun, di Bukit Mertajam.

Datuk Seri Anwar berkata, mahasiswa perlu menggunakan ruang dan kebebasan yang ada untuk membina pemikiran yang kritis serta membuat penilaian berdasarkan ilmu dan fakta.

Katanya, usaha itu penting bagi memastikan kebebasan berfikir dapat dimanfaatkan secara bertanggungjawab, sekali gus menyumbang kepada pembentukan generasi pemimpin masa depan yang lebih matang dan berwibawa.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.