
PADANG BESAR, 28 Ogos – Zon Perdagangan Bebas Tuanku Syed Sirajuddin – Depot Pelepasan Pedalaman Perlis (PIP) mencatat pencapaian pengendalian sebanyak 100,000 unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) sejak April hingga 20 Ogos lalu.
- PIP Fasa 1 mempunyai kapasiti pengendalian sehingga 300,000 TEU setahun.
- Operasi Terminal Kontena Padang Besar dipindahkan berperingkat ke PIP untuk menampung peningkatan kargo ASEAN.
- Koridor logistik 388 kilometer menghubungkan BNCT Indonesia, Pelabuhan Pulau Pinang dan PIP, mengurangkan kos serta masa transit.
- PIP sokong strategi China+1, menarik pelaburan bernilai tinggi dan menggalakkan aktiviti ekonomi bernilai tambah di wilayah utara.
Pencapaian itu mencerminkan momentum memberangsangkan dalam perkembangan PIP sebagai komponen penting dalam ekosistem logistik negara, sekali gus berpotensi menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara dan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, pencapaian berkenaan menunjukkan perkembangan pesat PIP sebagai antara pemacu pertumbuhan ekonomi di wilayah utara.
Menurutnya, bagi Fasa 1, infrastruktur PIP mempunyai kapasiti pengendalian sehingga 300,000 TEU setahun.
Beliau berkata, operasi dari Terminal Kontena Padang Besar turut dipindahkan secara berperingkat ke PIP bagi menampung peningkatan pergerakan kargo dari selatan Thailand dan negara-negara ASEAN.
“Lebih kurang empat bulan setengah menunjukkan kita boleh mencapai 100,000 TEU. Jadi, kita melihat potensi untuk tahun ini, insya-Allah, seperti yang digambarkan tadi, kita boleh pergi sehingga 180,000 TEU.
“Ini juga akan membolehkan aktiviti-aktiviti lain berkembang selepas ini,” katanya kepada media selepas mengadakan lawatan ke PIP di Padang Besar, Perlis.
Akmal Nasrullah berkata, hubungan PIP dengan Pelabuhan Pulau Pinang dan Belawan New Container Terminal (BNCT) di Indonesia turut mewujudkan koridor logistik sepanjang 388 kilometer yang menghubungkan Indonesia, Malaysia dan Thailand.
Koridor berkenaan berpotensi mengurangkan kos serta tempoh transit barangan berbanding laluan konvensional, di samping memperkukuh kesalinghubungan rantaian bekalan di peringkat serantau.
Selain itu, beliau berkata PIP turut berpotensi menyokong usaha Malaysia menarik pelaburan bernilai tinggi menerusi strategi rantaian bekalan China+1.
Pendekatan itu membolehkan Malaysia menawarkan akses yang lebih kompetitif kepada pasaran ASEAN serta rantau Greater Mekong Subregion, sekali gus membuka peluang kepada perkembangan aktiviti ekonomi dan industri bernilai tambah di kawasan utara negara.