
KUALA LUMPUR, 28 Ogos – Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang meluahkan rasa dukacita atas musibah banjir yang melanda daerah Rasuwa, Nepal.
- Mengajak rakyat Malaysia mendoakan keselamatan dan kesejahteraan rakyat Nepal yang terjejas.
- Berharap usaha bantuan dan pemulihan bagi mangsa banjir dipermudahkan segera.
- Mendoakan keselamatan warganegara Malaysia di Nepal serta menggesa mereka terus berhubung dengan keluarga dan pihak berkuasa.
- Perdana Menteri arahkan MKN dan Wisma Putra kenal pasti serta hubungi rakyat Malaysia; Wisma Putra lapor kira-kira 57 masih gagal dihubungi.
Beliau menerusi hantaran di Facebook mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama mendoakan keselamatan dan kesejahteraan rakyat Nepal yang terjejas akibat bencana itu.
“Marilah kita bersama-sama mendoakan keselamatan dan kesejahteraan seluruh rakyat Nepal yang terjejas, serta agar usaha bantuan dan pemulihan dapat dipermudahkan.
“Doa dan solidariti kita bersama Nepal pada saat yang mencabar ini,” menurut hantaran itu.
Dalam pada itu Datuk Aaron turut mendoakan keselamatan semua rakyat Malaysia yang berada di Nepal dan berharap mereka dapat terus dihubungi ahli keluarga dan pihak berkuasa berkaitan.
Pada Khamis, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan semua jabatan berkaitan termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Wisma Putra untuk segera mengenal pasti serta menghubungi rakyat Malaysia yang terkesan dalam bencana itu.
Terdahulu, Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan kira-kira 57 rakyat Malaysia masih gagal dihubungi susulan kejadian banjir besar yang melanda Nepal.
Angka terkini itu adalah berdasarkan laporan yang diterima daripada ahli keluarga, rakan-rakan dan majikan setakat Khamis.