
IPOH, 28 Ogos – Penduduk di kawasan Gerik dinasihatkan supaya tidak panik susulan kejadian gempa bumi lemah bermagnitud 3.4 yang direkodkan di Temengor awal pagi tadi.
- Gegaran pernah direkodkan di kawasan berkenaan pada 2013 dan 2016.
- Kawasan Manjung merekodkan gempa bermagnitud 2.5 pada 2009 pada kedalaman 22.5 kilometer.
- Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia melaksanakan Projek Sesar Aktif untuk mengenal pasti struktur sesar berpotensi.
- Temengor mempunyai Sesar Banding; segmen 2.9 hingga 6.6 km, potensi gempa magnitude 3.0 hingga 4.1 Mw; risiko Perak masih rendah.
Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Teh Kok Lim berkata, kejadian gempa bumi di kawasan berkenaan bukan sesuatu yang baharu kerana gegaran pernah direkodkan pada 2013 dan 2016.
Menurut beliau, bagi kawasan Manjung pula, gempa bumi bermagnitud 2.5 pernah direkodkan pada 2009 pada kedalaman 22.5 kilometer.
“Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) telah melaksanakan Projek Sesar Aktif bagi mengenal pasti struktur sesar yang berpotensi menyebabkan gegaran dan aktiviti gempa bumi di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata, kajian yang bermula pada 2016 itu melibatkan kawasan Temengor dan Manjung melalui analisis imej satelit, radar, peta kontur serta data gempa bumi yang dibekalkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
Hasil kajian mendapati kawasan Temengor mempunyai sesar yang berpotensi aktif, dikenali sebagai Sesar Banding.
Menurutnya, setiap segmen sesar berkenaan mempunyai panjang antara 2.9 hingga 6.6 kilometer dengan potensi menghasilkan gempa bumi bermagnitud antara 3.0 hingga 4.1 Mw.
Bagaimanapun, beliau berkata, risiko gempa bumi di Perak masih rendah dan sekiranya berlaku, ia dijangka berada pada skala rendah hingga sederhana.
Terdahulu, MetMalaysia melaporkan gempa bumi lemah bermagnitud 3.4 melanda Temengor pada jam 12.06 tengah malam tadi, pada kedalaman 10 kilometer.
Lokasi gempa direkodkan pada koordinat 5.5 darjah Utara dan 101.3 darjah Timur.