Malaysia sasar eksport peranti perubatan lebih RM50 bilion menjelang 2030

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 28 Ogos – Malaysia menyasarkan nilai eksport peranti perubatan melebihi RM50 bilion menjelang 2030, selaras usaha memperkukuh kedudukan negara sebagai hab teknologi perubatan bertaraf global.

RINGKASAN BERITA AI
  • Memacu pertumbuhan melalui produk tempatan bernilai tinggi, pemilikan harta intelek dan penguasaan teknologi teras.
  • Membina sekurang-kurangnya 10 syarikat teknologi perubatan tempatan sebagai peneraju serantau dan global.
  • Memastikan sekurang-kurangnya 50 peratus pekerjaan baharu terdiri daripada jawatan pengurusan, teknikal dan penyeliaan.
  • Industri perlu bekerjasama rapat dengan universiti dan institusi TVET untuk membentuk program latihan, pendedahan industri dan peluang perantisan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sasaran itu merupakan antara tiga aspirasi utama industri teknologi perubatan negara bagi tempoh empat tahun akan datang.

Beliau berkata, Malaysia telah mempunyai asas kukuh dalam industri berkenaan dengan nilai eksport peranti perubatan mencecah RM34.5 bilion pada 2025.

“Kita mempunyai asas pembuatan yang kukuh, akses pasaran dan keyakinan global. Namun, fasa pertumbuhan seterusnya mesti dipacu oleh produk tempatan yang bernilai tinggi, pemilikan harta intelek (IP) serta penguasaan teknologi teras.

“Modal asing boleh memasuki Malaysia, tetapi keupayaan teknikal dan modal insan mesti kekal di negara kita. Ini adalah dasar industri nasional yang strategik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Pameran dan Persidangan Peranti Perubatan Antarabangsa (IMDEC) 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.

Hadir sama, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Tambahnya, aspirasi kedua ialah membina sekurang-kurangnya 10 syarikat teknologi perubatan tempatan yang mampu menjadi peneraju di peringkat serantau dan global menjelang 2030.

“Aspirasi ketiga pula ialah memastikan sekurang-kurangnya 50 peratus pekerjaan yang diwujudkan menerusi pelaburan baharu dalam industri teknologi perubatan terdiri daripada jawatan pengurusan, teknikal dan penyeliaan.

“Kira-kira RM4 bilion pelaburan baharu dalam industri peranti perubatan turut diluluskan tahun lalu menerusi 46 projek, yang dijangka mewujudkan hampir 3,400 peluang pekerjaan,”jelasnya.

Dalam pada itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara menegaskan keperluan industri bekerjasama lebih rapat dengan universiti dan institusi Pendidikan dan Latihan TVET bagi memastikan bakat tempatan tersedia sebelum pelaburan baharu masuk.

Beliau berkata, industri perlu terlibat lebih awal dalam pembentukan program latihan, mengenal pasti kemahiran masa depan, menyediakan pendedahan industri serta memperluas peluang perantisan.

“Langkah itu penting bagi memastikan keutamaan diberikan kepada pekerja, pengurus dan penyelia tempatan dalam sektor teknologi perubatan,”tambahnya.

Dalam majlis itu, turut disampaikan Anugerah Sepanjang Hayat kepada Bekas Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal), Datuk Dr Mukundan Sugunan Pillay dan Pengasas bersama dan Pengarah Medical Innovation Ventures Sdn Bhd, Dr Lim Li Sze.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.