
PUTRAJAYA, 28 Ogos – Persiapan perbarisan sambutan Hari Kebangsaan 2026 dijangka capai hampir 100 peratus menjelang raptai penuh pada Sabtu.
- Penyertaan Johor Military Force dan aset bot pemintas berkelajuan tinggi Ibrahim Class IC 1170cc hasil reka bentuk Sultan Ibrahim ditonjolkan tahun ini.
- Penambahbaikan pergerakan kontinjen dibuat bagi memastikan persembahan lebih kemas dan teratur.
- Struktur Human Tiers selamat; jumlah pelajar dikurangkan kepada 1,500 dan pemeriksaan berkala dijalankan untuk elak risiko keselamatan.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata,beberapa kelainan ditonjolkan pada tahun ini, termasuk penyertaan Johor Military Force serta aset bot pemintas berkelajuan tinggi, Ibrahim Class IC 1170cc, hasil ilham dan reka bentuk Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Menurutnya, beberapa penambahbaikan turut dibuat membabitkan pergerakan kontinjen bagi memastikan keseluruhan persembahan lebih kemas dan teratur.
Sementara itu, beliau mengesahkan struktur bagi formasi manusia (Human Tiers) yang menempatkan kira-kira 1,500 pelajar, adalah selamat.
Katanya pihak penyedia turut mengambil kira pergerakan peserta bagi memastikan struktur tidak mudah lentur ketika menampung pergerakan pelajar mengikut ritma persembahan.
Malah, pemeriksaan turut dilakukan secara berkala bagi memastikan struktur berkenaan tidak menjejaskan kelancaran persembahan atau mendatangkan risiko kepada peserta, khususnya pelajar.
“Alhamdulillah, struktur itu selamat. Kita telah minta untuk diteliti supaya tidak ada apa-apa yang menyukarkan persembahan dan juga mendatangkan apa-apa isu keselamatan, terutama kepada para pelajar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau persiapan Sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Dataran Putrajaya pada Jumaat.
Menurut Datuk Seri Fahmi, ini merupakan tahun ketiga struktur berkenaan digunakan, dan setakat ini tiada sebarang masalah dilaporkan.
Menjawab dakwaan struktur Human Tiers kelihatan sedikit ‘tersasar’ berbanding laluan perarakan, beliau menjelaskan, perkara itu berpunca daripada kedudukan bangunan penyedia struktur yang tidak berada pada paksi yang sama dengan laluan berkenaan.
Katanya, urus setia turut diminta membuat pelarasan pada masa akan datang.
Bagaimanapun, jumlah pelajar yang terlibat dalam Human Tiers tahun ini dikurangkan kepada 1,500 orang berbanding 2,000 orang pada tahun lalu.
Pada masa sama, Datuk Seri Fahmi menyifatkan semangat serta moral peserta termasuk anggota polis, tentera dan pelajar yang terlibat sebagai amat memberangsangkan menjelang sambutan pada 31 Ogos.