
GEORGE TOWN, 26 Ogos – Muzium Negeri Pulau Pinang yang dibuka semula pada 24 Julai lepas berjaya mencatatkan 47,630 pengunjung.
- Sambutan melangkaui sasaran awal kerajaan negeri yang menjangkakan 30,000 pengunjung sehingga hujung tahun.
- Pameran baharu menonjolkan teknologi digital, elemen AI dan pameran interaktif dalam bangunan Warisan Kategori Satu yang dipulihara.
- Pengunjung memuji pengalaman mesra semua usia; kemasukan percuma hingga 31 Ogos, tambahan 15 dan 16 September; tiket berbayar bermula 1 September.
Sambutan positif itu melepasi sasaran awal kerajaan negeri yang menjangkakan 30,000 pelawat sehingga hujung tahun ini.
Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang, Wong Hon Wai berkata pembukaan semula itu membuka ruang kepada pengunjung untuk meneroka pelbagai koleksi serta pameran sejarah serta perkembangan negeri merangkumi pelbagai aspek.
“Bangunan Warisan Kategori Satu yang telah dipulihara itu kini menampilkan konsep pameran baharu yang berasaskan teknologi digital, element AI, dan pameran interaktif yang mesra pelawat,”katanya selepas melawat Muzium Negeri di sini.
Sementara itu, rata-rata pengunjung menyuarakan kekaguman dengan pembaharuan yang mengetengahkan elemen-elemen digital dan interatif moden, sekali gus memberi pengalaman mesra pelawat segenap lapisan usia.
“Saya melihat perubahan demi perubahan telah dilaksana terutama penggunaan teknologinya dan seolah-olah kita melihat Pulau Pinang secara keseluruhan,”kata Mawar Mazuki.
Sementara itu, Syeren Alexander serta Se Rahu, masing-masing turut senada dengan menyatakan pendekatan yang lebih segar dan interaktif berjaya menyemai penghargaan kepada sejarah dan kepelbagaian budaya.
Kemasukan percuma ditawarkan sehingga 31 Ogos ini serta orang ramai turut berpeluang menikmati kemasukan percuma tambahan pada 15 dan 16 September depan bersempena Hari Malaysia dan Ulang Tahun Rizab Biosfera UNESCO Bukit Bendera.
Kadar tiket mula berkuat kuasa pada 1 September ini.