Brazil denda pemilik tiktok US$29.8 juta berhubung pemprosesan data kanak-kanak, remaja

Foto janaan AI

ISTANBUL, 26 Ogos – Pihak Berkuasa Perlindungan Data Kebangsaan Brazil (ANPD) mengenakan denda 153.7 juta real Brazil (AS$29.8 juta) terhadap ByteDance, pemilik TikTok, pada Selasa susulan ketidakpatuhan dalam pemprosesan data peribadi kanak-kanak dan remaja, menurut Warta Rasmi, lapor Anadolu Ajansi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Prosiding administratif mendapati pelanggaran LGPD berkaitan pemprosesan data kanak-kanak dan remaja.
  • Arahan memadam data yang dikumpul secara tidak teratur dan melaksanakan pelan pematuhan.
  • Akaun bawah 16 tahun guna tetapan privasi paling ketat; perubahan hanya dengan kebenaran ibu bapa atau penjaga.
  • Untuk akses tanpa akaun: penggantungan pengiklanan, had akses 12 jam, fungsi interaktif dinyahaktif dan pengurangan pengumpulan data.

Denda itu dikenakan susulan prosiding pentadbiran yang mengenal pasti pelanggaran terhadap Undang-Undang Perlindungan Data Umum Brazil (LGPD).

Keputusan itu turut mengarahkan syarikat berkenaan memadamkan data yang dikumpul secara tidak teratur serta melaksanakan pelan pematuhan bagi meningkatkan perlindungan kanak-kanak dan remaja di platform itu.

ANPD berkata siasatan mengenal pasti ketidakpatuhan dalam dua bentuk akses kepada TikTok iaitu “suapan tanpa pendaftaran” yang boleh diakses tanpa mewujudkan akaun, dan “suapan dengan pendaftaran” yang dikaitkan dengan profil berdaftar.

Dalam kedua-dua kes, ANPD mendapati platform itu memproses data peribadi milik kanak-kanak dan remaja tanpa asas undang-undang yang mencukupi di bawah LGPD serta gagal mengambil langkah berkesan bagi mencegah pemprosesan sedemikian.

Di bawah pelan pematuhan itu, TikTok akan secara automatik menggunakan tetapan privasi paling ketat bagi akaun pengguna berusia bawah 16 tahun.

Tetapan berkenaan hanya boleh diubah dengan kebenaran ibu bapa atau penjaga.

Menurut ANPD, syarikat itu juga akan memperkukuh sistem pemantauan ibu bapa dan melaksanakan penapisan kandungan yang lebih ketat.

Bagi pengguna yang mengakses TikTok tanpa akaun, syarikat itu akan menggantung pengiklanan di Brazil, mengehadkan akses kepada kandungan yang sesuai untuk semua peringkat umur serta mengurangkan pengumpulan dan pemprosesan data peribadi.

Pihak berkuasa berkata langkah berkenaan turut merangkumi had akses selama 12 jam serta menyahaktifkan fungsi seperti penghasilan kandungan, komen, mesej langsung, mengikuti pengguna lain dan penstriman langsung bagi pengguna tanpa akaun berdaftar.

Dapatan itu diperincikan dalam Nota Teknikal No. 50/2024/CGF/ANPD yang disediakan oleh Jabatan Penyeliaan ANPD (SFI-ANPD), yang mengenal pasti amalan dianggap tidak selaras dengan Undang-Undang Perlindungan Data Umum Brazil bagi kedua-dua bentuk akses kepada platform itu.

Menurut agensi berkenaan, ByteDance berhak membuat rayuan kepada Lembaga Pengarah ANPD dalam tempoh 10 hari bekerja selepas menerima pemberitahuan.- BERNAMA-ANADOLU

 

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.