Syarikat insurans silap beri rekod perubatan bapa Maradona dalam perbicaraan

Legenda bola sepak Argentina, Diego Maradona (kanan) bergambar bersama-sama bapanya, “Don Diego” – Foto AFP

BUENOS AIRES, 25 Ogos – Sebuah syarikat insurans kesihatan Argentina mengakui bahawa rekod ujian perubatan yang dikemukakan dalam perbicaraan berhubung kematian legenda bola sepak, Diego Maradona, sebenarnya milik bapanya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kesilapan rekod ujian dikesan oleh peguam pembela, menimbulkan keraguan terhadap bukti perubatan.
  • Analisis pakar nefrologi dibuat berdasarkan keputusan ujian yang salah, menjejaskan perbahasan mengenai keadaan buah pinggang Maradona.
  • Prosiding perbicaraan ditangguh seminggu dan akan disambung semula Khamis, dijangka berterusan sekurang-kurangnya sehingga September.

Dalam surat yang dilihat AFP pada Isnin, Swiss Medical mengakui ujian yang diserahkan kepada suruhanjaya perubatan bagi menyiasat kematian Maradona, tersilap difailkan atas nama Diego Armando Maradona, sedangkan ia milik bapanya, Diego Salustiano Maradona.

Diego Salustiano meninggal dunia pada 2015, lima tahun sebelum anaknya yang dianggap antara pemain bola sepak terhebat sepanjang zaman, meninggal dunia.

Kesilapan itu dikesan minggu lalu oleh peguam yang mewakili salah seorang daripada tujuh petugas kesihatan yang sedang dibicarakan berhubung kematian Maradona pada November 2020, ketika berusia 60 tahun.

Maradona meninggal dunia akibat kegagalan jantung dan edema pulmonari akut, iaitu keadaan apabila cecair terkumpul dalam paru-paru, di sebuah rumah sewa di pinggir bandar Tigre, di sini.

Beliau menghembuskan nafas terakhir dua minggu selepas menjalani pembedahan bagi merawat darah beku pada otak.

Pasukan perubatannya didakwa memberikan rawatan yang amat tidak mencukupi sebelum kematian Maradona, namun mereka menafikan pertuduhan berkenaan.

Kesihatan buah pinggang Maradona menjadi antara fokus utama pada peringkat akhir perbicaraan, dengan seorang pakar nefrologi memberi keterangan bahawa doktor sepatutnya memberi perhatian lebih terhadap masalah berkenaan.

Namun, kini didapati analisis pakar itu dibuat berdasarkan keputusan ujian perubatan yang salah.

Kekeliruan itu menyebabkan prosiding perbicaraan ditangguh selama seminggu, sekali gus menambah tekanan terhadap mahkamah selepas perbicaraan pertama tahun lalu terpaksa dihentikan susulan isu konflik kepentingan membabitkan salah seorang hakim.

Perbicaraan terbaharu yang bermula pada April lalu akan disambung semula pada Khamis.

Prosiding dijangka berterusan sekurang-kurangnya sehingga September. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.