
RENO, 25 Ogos – Kebakaran hutan Hawk yang tercetus berhampiran Reno, disini memusnahkan lebih 15,000 ekar atau kira-kira 6,070 hektar kawasan dalam tempoh 48 jam, ketika pasukan bomba terus berusaha mengawal kebakaran itu.
- Pasukan bomba berjaya bina garisan kawalan di sekitar 27 peratus kawasan kebakaran.
- Kebakaran merebak ke kawasan penempatan; sekurang-kurangnya 32 rumah musnah dan enam lagi rosak.
- Kira-kira 90,000 penduduk diarahkan berpindah atau bersiap sedia; 23,000 masih diarahkan berpindah.
- Pihak berkuasa mengesyaki kebakaran berpunca daripada aktiviti manusia; siasatan dijalankan sama ada disengajakan atau tidak.
Setakat Isnin, pasukan bomba berjaya membina garisan kawalan di sekitar 27 peratus kawasan kebakaran selepas api merebak pantas akibat tiupan angin kencang.
Kebakaran yang bermula pada Sabtu itu merebak ke kawasan penempatan penduduk di pinggir bandar berkenaan.
Sekurang-kurangnya 32 rumah musnah, manakala enam lagi mengalami kerosakan akibat kebakaran yang masih belum dipadamkan sepenuhnya.
Lebih 900 anggota bomba dikerahkan untuk memadam kebakaran berkenaan, termasuk pasukan dari 15 negeri di Amerika Syarikat, Australia dan New Zealand.
Kebakaran itu turut menyebabkan kira-kira 90,000 penduduk diarahkan berpindah atau bersiap sedia meninggalkan kediaman masing-masing ketika api merebak dengan pantas pada hujung minggu.
Bagaimanapun, keadaan bertambah baik pada Isnin apabila pihak berkuasa menarik balik arahan pemindahan di beberapa kawasan.
Sherif Darin Balaam berkata kira-kira 23,000 penduduk masih diarahkan berpindah, manakala 40,000 lagi diminta bersiap sedia untuk meninggalkan kediaman pada bila-bila masa.
Tiada kematian dilaporkan setakat ini, namun empat orang awam dan tiga anggota pasukan kecemasan mengalami kecederaan ringan ketika kebakaran bermula.
Pihak berkuasa memaklumkan kebakaran Hawk berpunca daripada aktiviti manusia.
Namun siasatan masih dijalankan bagi menentukan sama ada ia tercetus secara sengaja atau tidak disengajakan. – REUTERS