Rakyat Malaysia dinasihat tingkat kewaspadaan di selatan Thailand

Pihak berkuasa Thailand bertugas di sekatan jalan raya di Narathiwat. / Foto Fail BERNAMA

SONGKHLA, 25 Ogos – Rakyat Malaysia yang berada atau merancang perjalanan ke Pattani, Yala dan Narathiwat di selatan Thailand dinasihat meningkatkan tahap kewaspadaan susulan beberapa insiden keselamatan di wilayah berkenaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Elakkan kawasan demonstrasi dan perhimpunan besar.
  • Peka dan patuhi arahan pihak berkuasa tentang perintah berkurung, penutupan jalan serta pemeriksaan keselamatan.
  • Pastikan dokumen perjalanan dan kenderaan lengkap, bawa lesen fizikal Malaysia dan simpan resit pembayaran saman rasmi.

Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi menegaskan, kawasan yang berlaku insiden keselamatan termasuk demonstrasi dan perhimpunan besar perlu dielakkan.

Pada masa sama, sentiasa peka dan mematuhi arahan pihak berkuasa Thailand berkaitan perintah berkurung, penutupan jalan raya serta pemeriksaan keselamatan.

“Perhatian khusus perlu diberikan kepada situasi keselamatan semasa sebelum sebarang perjalanan dilakukan.

“Elak perjalanan pada waktu malam di kawasan terjejas, mengikuti pengumuman rasmi serta memaklumkan jadual perjalanan kepada ahli keluarga,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Program Kayuhan Malaysia Merdeka 2026, di sini.

Bagi mereka yang memasuki Thailand menggunakan kenderaan sendiri, Ahmad Fahmi berkata, dokumen perjalanan dan kenderaan perlu dipastikan lengkap sepanjang berada di negara berkenaan.

Tindakan itu bagi memudahkan urusan pemeriksaan oleh pihak berkuasa temaptan.

“Bawa lesen memandu asal Malaysia dalam bentuk fizikal dan tidak bergantung sepenuhnya kepada lesen digital menerusi aplikasi MyJPJ.

“Sebarang saman pula hendaklah dijelaskan melalui saluran rasmi dan resit pembayaran disimpan sebagai rekod,” jelasnya.

Mengenai Kayuhan Malaysia Merdeka 2026, beliau berkata, program tersebut diketuai Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bersama Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Yang Amat Mulia Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (kanan) mengetuai Program Kayuhan Malaysia Merdeka 2026, di sini. / Foto Yayasan Tuanku Syed Putra Perlis

Sempena program itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan memulakan dan mengakhiri kayuhan di perkarangan Pejabat Perbandaran Kecil Daerah Ko Taeo.

Baginda turut berkesempatan untuk berangkat melawat Koh Taeo Pittayasan School yang merupakan sekolah sukan Thailand di wilayah berkenaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.