Industri aeroangkasa harap peruntukan R&D lebih tinggi

Mejar Ir. Ts. Dr. Arvinthan Venugopal

KUALA LUMPUR, 23 Ogos Industri aeroangkasa berharap agar peruntukan lebih tinggi bagi penyelidikan dan pembangunan (R&D) dibentangkan dalam belanjawan akan datang bagi mempercepat pembangunan teknologi dan inovasi tempatan.

RINGKASAN BERITA AI
  • R&D memerlukan pembiayaan berterusan kerana pembangunan teknologi mengambil masa dan hasilnya tidak semestinya cepat.
  • Peruntukan lebih tinggi penting untuk menterjemah penyelidikan menjadi teknologi yang boleh digunakan dalam industri.
  • Pengukuhan modal insan dan penguasaan teknologi diperlukan termasuk latihan dan pensijilan antarabangsa.
  • R&D dan inovasi mesti bergerak seiring; penyelidikan yang gagal pun memberi pengetahuan untuk pembangunan seterusnya.

Ketua Flait NDT, Pusat Perkhidmatan Kejuruteraan Aerospace TUDM (PUSPEKA), Mejar Ir. Ts. Dr. Arvinthan Venugopal berkata, R&D memerlukan pembiayaan berterusan memandangkan proses membangunkan sesuatu teknologi mengambil masa dan tidak semestinya menghasilkan keputusan dalam tempoh singkat.

Peruntukan itu penting bagi membolehkan lebih banyak penyelidikan diterjemahkan kepada pembangunan teknologi yang boleh digunakan dalam industri.

“Kita memerlukan lebih banyak dana kerana R&D adalah bidang yang luas dan hasilnya tidak boleh dijangka dalam tempoh singkat.

“Peruntukan yang lebih tinggi penting untuk membolehkan lebih banyak penyelidikan dan inovasi dibangunkan pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas program Biz Malaysia di Angkasapuri Kota Media di sini.

Selain pembiayaan, pembangunan sektor aeroangkasa bernilai tinggi turut memerlukan pengukuhan modal insan dan penguasaan teknologi.

Ia termasuk latihan, pensijilan antarabangsa serta usaha membangunkan teknologi tempatan yang setanding atau lebih baik berbanding teknologi sedia ada di pasaran global.

R&D dan inovasi perlu bergerak seiring kerana setiap proses penyelidikan, termasuk yang tidak mencapai hasil seperti dirancang, tetap memberi pengetahuan baharu untuk pembangunan teknologi seterusnya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.