NSFC tuntut kemenangan ‘Walkover’ selepas aksi KL City dibatalkan

Foto FB Negeri Sembilan Football Club

KUALA LUMPUR, 22 Ogos – Negeri Sembilan FC (NSFC) menuntut kemenangan secara ‘walkover’ selepas aksi Unifi Liga Super 2026-2027 menentang Kuala Lumpur City FC (KL City) yang dijadualkan berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, petang ini tidak dapat dilangsungkan.

RINGKASAN BERITA AI
  • NSFC kecewa dengan keputusan MFL membatalkan perlawanan pada saat akhir walaupun persiapan kelab sudah lengkap.
  • Kelab secara tegas menuntut kemenangan secara 'walkover' susulan pembatalan perlawanan.
  • MFL memaklumkan pembatalan selepas menerima permohonan rasmi KL City berhubung simptom influenza dalam pasukan.
  • Skuad utama tetap adakan latihan terbuka; penyokong dialu-alukan dan maklumat tuntutan balik tiket akan diumumkan kelak.

Pihak pengurusan NSFC berkata keputusan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) itu amat mengecewakan pihak kelab memandangkan segala persiapan untuk perlawanan berkenaan telah disiapkan sepenuhnya.

“Pihak Pengurusan NSFC mengambil maklum keputusan MFL berkenaan ketidaklangsungan perlawanan pada petang ini.

“Kami amat kesal dengan situasi yang berlaku pada saat-saat akhir ini memandangkan segala persiapan telah disiapkan sepenuhnya dan ia amat mengecewakan ribuan penyokong setia skuad Jang.

“Oleh itu, pihak kelab dengan tegas menuntut agar kemenangan secara ‘walkover’ diberikan,” menurut kenyataan NSFC menerusi laman Facebook rasminya hari ini.

MFL sebelum ini memaklumkan aksi berkenaan tidak dapat dilangsungkan selepas menerima permohonan rasmi daripada KL City berhubung keadaan kesihatan pemain dan pegawai pasukan yang mengalami simptom influenza.

Dalam pada itu, NSFC memaklumkan skuad utamanya tetap akan mengadakan sesi latihan di stadium pada petang ini walaupun perlawanan berkenaan tidak berlangsung.

Kelab itu turut mengalu-alukan kehadiran penyokong untuk menyaksikan sesi latihan terbuka berkenaan sebagai tanda penghargaan atas sokongan padu mereka.

Mengenai tiket perlawanan yang telah dibeli, NSFC berkata maklumat berhubung proses tuntutan semula akan dimaklumkan dari semasa ke semasa menerusi platform rasmi kelab.

NSFC turut memohon maaf atas segala kesulitan yang berlaku dan berterima kasih kepada penyokong atas sokongan berterusan terhadap skuad Jang.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.