Program Lesen B2 tingkat sosioekonomi golongan memerlukan

Majlis Penyerahan Program Bantuan Lesen Memandu Kelas B2 anjuran Parlimen Santubong di Dewan Wisma Sarawak Badan Amal Tenaga Isteri-Isteri (SABATI)

KUCHING, 22 Ogos – Seramai 616 peserta menerima manfaat menerusi Program Bantuan Lesen Memandu Kelas B2 anjuran Parlimen Santubong sekali gus membantu golongan memerlukan meningkatkan taraf sosioekonomi

RINGKASAN BERITA AI
  • Peserta lulus tapisan, latihan dan ujian yang ditetapkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
  • Lesen diharap dimanfaatkan untuk mencari rezeki, membantu keluarga dan memudahkan urusan harian.
  • Penerima diingatkan agar tidak menyalahgunakan lesen untuk lumba haram atau tindakan pemanduan berbahaya.
  • Kos lesen hanya RM250, penerima memuji bantuan kerana mengurangkan perbelanjaan dan meningkatkan keyakinan bergerak.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang juga Ahli Parlimen Santubong Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kesemua penerima merupakan peserta yang berjaya melalui proses tapisan, latihan dan ujian yang ditetapkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Dengan adanya lesen berkenaan beliau berharap ia akan dimanfaatkan untuk mencari rezeki, membantu keluarga, menghantar ibu bapa mendapatkan rawatan serta memudahkan urusan harian.

“Penerima juga diingatkan supaya tidak menyalahgunakan lesen dengan terlibat dalam aktiviti berbahaya seperti lumba haram, aksi berbahaya dan pemanduan tidak berhemah.

“Terima kasih kepada agensi kerajaan dan swasta serta pihak lain yang terlibat menjayakan program ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Program Bantuan Lesen Memandu Kelas B2 anjuran Parlimen Santubong di Dewan Wisma Sarawak Badan Amal Tenaga Isteri-Isteri (SABATI) di sini hari ini.

Sementara itu, penerima program, Dina Kassim, 48, yang berasal dari Kampung Buntal dan bekerja di Demak, menyifatkan bantuan berkenaan sebagai peluang yang amat bermakna kerana dapat mengurangkan kos untuk mendapatkan lesen.

“Program seperti ini memang sangat bagus sekiranya diperluas. Ia sangat-sangat membantu saya kerana kekurangan bajet, jadi ini memberikan peluang kepada saya untuk mendapatkan lesen ini,” katanya.

Seorang lagi penerima, Abu Firas Dhaifullah Abu Shahidal, 17, berkata memiliki lesen memandu memberikannya lebih keyakinan untuk bergerak keluar dari kampung selain memudahkan urusan ke sekolah.

“Apabila sudah memiliki lesen, saya lebih yakin untuk keluar kampung dan memudahkan urusan pergi ke sekolah,” katanya.

Kos lesen memandu yang ditawarkan pada program itu hanya RM250 kepada peserta yang belum mempunyai lesen.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.