Projek bina semula bangunan daif SK FELDA Kota Gelanggi 1 siap 310 hari lebih awal

Datuk Seri Alexander (berdiri, dua dari kiri) menyaksikan sesi pertukaran dokumen bagi penyerahan projek pembinaan semula bagunan daif sekolah berkenaan, di sini. / Foto RTM

JERANTUT, 20 Ogos – Projek pembinaan semula bangunan daif di Sekolah Kebangsaan FELDA Kota Gelanggi 1, di sini, bernilai hampir RM8 juta berjaya disiapkan 310 hari lebih awal daripada jadual asal.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pembinaan blok akademik baharu dengan tiga bilik darjah, bilik sains, bilik seni dan bilik kesihatan disiapkan.
  • Blok PPKI lengkap kemudahan mesra OKU termasuk tandas, bilik pengurusan diri, ramp, surau dan laluan berbumbung, manfaat untuk 17 murid berkeperluan khas.
  • Kontraktor diminta menanggani aduan kecacatan sepanjang Tempoh Tanggungan Kecacatan, dan Jabatan Kerja Raya akan memantau selepas penyerahan.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, projek di bawah Program DAIF Pahang 2023 itu bermula pada 13 Januari 2025 dan siap sepenuhnya pada 26 Jun lalu.

Tarikh asal penyiapan projek ditetapkan pada 2 Mei 2027 dan ia diselesaikan tanpa sebarang lanjutan masa.

“Lebih awal daripada jadual. Ini satu pencapaian yang sangat baik. Projek ini melibatkan peruntukan RM7.9 juta dan kualitinya juga terbaik.

“Kita berharap projek ini akan memberi manfaat kepada beberapa murid berkeperluan khas di sekolah tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penyerahan Projek Siap bagi Program DAIF Pahang 2023 di sekolah berkenaan.

Projek itu merangkumi pembinaan sebuah blok akademik baharu yang menyediakan tiga bilik darjah, bilik sains, bilik seni dan bilik kesihatan.

Ia turut melibatkan Blok Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dengan kemudahan sokongan termasuk tandas mesra orang kurang upaya, bilik pengurusan diri, laluan ramp, surau dan laluan berbumbung.

Seramai 17 murid berkeperluan pendidikan khas dijangka menerima manfaat daripada kemudahan berkenaan.

Mengulas lanjut, Datuk Seri Alexander mengingatkan kontraktor supaya setiap aduan kecacatan sepanjang Tempoh Tanggungan Kecacatan (DLP) ditangani dengan segera dan berkesan.

Jabatan Kerja Raya pula diarah meneruskan pemantauan selepas penyerahan bagi memastikan semua kemudahan kekal selamat, berada dalam keadaan baik dan memenuhi piawaian.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.