Jerebu dan pembakaran terbuka: Pelan Tindakan Kebangsaan babitkan agensi diaktifkan

Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR, 20 Ogos Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan dan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan diaktifkan bagi menyelaras tindakan agensi kerajaan dalam menangani pembakaran terbuka serta situasi jerebu negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • NADMA akan aktifkan jawatankuasa pengurusan bencana apabila IPU melebihi 150 selama lebih 24 jam.
  • Aktiviti luar dibatalkan jika IPU melebihi 100; sekolah, tadika dan taska ditutup segera jika IPU melebihi 200.
  • Pembakaran terbuka boleh dikenakan denda antara RM25,000 hingga RM1 juta atau penjara sehingga lima tahun; lapor kepada Bomba 999 atau JAS 1-800-88-2727.

Kenyataan Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Alam Sekitar (JAS), Azuri Azizah Saedon menyatakan tindakan agensi berkaitan akan dilaksanakan berdasarkan tahap bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU).

“Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan mengaktifkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana di peringkat daerah, negeri atau pusat apabila bacaan IPU melebihi 150 bagi tempoh lebih 24 jam,” jelasnya.

Selain itu, aktiviti di luar bilik darjah perlu dihentikan apabila bacaan IPU melebihi 100, manakala sekolah, tadika dan taska ditutup serta-merta apabila bacaan melebihi 200.

Beliau berkata Operasi Pembenihan Awan (OPA) pula akan dilaksanakan apabila bacaan IPU melebihi 150 bagi tempoh lebih 24 jam, tertakluk kepada keadaan cuaca dan kehadiran awan yang sesuai.

Dalam pada itu, semua pemilik tanah dinasihatkan memantau kawasan yang mudah terbakar dan mengambil langkah mencegah pencerobohan yang boleh menyebabkan pembakaran terbuka.

“Orang ramai turut diingatkan supaya tidak melakukan pembakaran terbuka atau membiarkan tanah dan premis mereka dicerobohi sehingga menyebabkan kebakaran.

Mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2024, kesalahan pembakaran terbuka boleh dikenakan denda antara RM25,000 hingga RM1 juta atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya,” tegasnya.

Beliau menambah, bacaan IPU terkini setiap jam boleh dirujuk menerusi laman sesawang JAS atau aplikasi MyJAS EQMS.

“Sebarang kes pembakaran terbuka boleh dilaporkan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat di talian 999 atau JAS di talian 1-800-88-2727,” ujarnya lagi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.