
SEPANG, 19 Ogos- ASEAN perlu memperkukuh kerjasama serantau dengan menggabungkan kekuatan negara anggota bagi membangunkan rantaian nilai teknologi bateri yang berdaya tahan dan berdaya saing di peringkat global.
- Teknologi bateri memacu keselamatan tenaga, daya saing industri, integrasi tenaga boleh diperbaharui dan pertumbuhan ekonomi mampan.
- Cabaran termasuk pengindustrian teknologi melalui model perniagaan kukuh, piawaian diyakini, rantaian bekalan berdaya tahan dan tenaga kerja berkemahiran.
- Pemimpin inovasi bateri akan membentuk industri, pelaburan dan peluang ekonomi; ASEAN perlu menempatkan diri sebagai peneraju rantai nilai global.
- Malaysia memperkukuh kerjasama kerajaan, industri, IPT dan pusat penyelidikan serta melabur dalam penyelidikan, inovasi dan pengkomersialan teknologi bateri.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Chang Lih Kang berkata teknologi bateri kini bukan sekadar menyokong penggunaan kenderaan elektrik (EV), malah menjadi pemacu kepada keselamatan tenaga, daya saing industri, integrasi tenaga boleh baharu serta pertumbuhan ekonomi mampan.
Menurut beliau, cabaran ASEAN bukan sekadar membangunkan teknologi bateri, tetapi memastikan teknologi berkenaan dapat diindustrikan menerusi model perniagaan yang kukuh, piawaian yang diyakini, rantaian bekalan berdaya tahan serta tenaga kerja berkemahiran.
“Negara yang menerajui inovasi bateri hari ini akan membentuk industri, pelaburan dan peluang ekonomi pada masa hadapan.
“Ketika ASEAN terus berkembang sebagai antara rantau ekonomi paling pesat di dunia, kita perlu meletakkan ASEAN sebagai peneraju dalam rantaian nilai bateri global,” katanya dalam ucapan sempena Persidangan Teknologi Bateri ASEAN (ABTC) 2026, di sini.
Datuk Chang berkata kekuatan ASEAN terletak pada keupayaan negara anggotanya untuk saling melengkapi dalam aspek kepakaran penyelidikan, pembuatan, pelaburan, pembangunan piawaian serta integrasi pasaran bagi membentuk industri bateri yang lebih kompetitif.
Bagi Malaysia, beliau berkata pembangunan teknologi bateri terus diperkukuh menerusi kerjasama antara kerajaan, industri, institusi pengajian tinggi dan pusat penyelidikan, selain pelaburan dalam penyelidikan, inovasi serta pengkomersialan teknologi.
Persidangan tiga hari bermula hari ini itu menghimpunkan pembuat dasar, pemain industri, penyelidik, pembangun teknologi dan pelabur dari ASEAN serta negara lain.