
KUALA LUMPUR, 19 Ogos – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan siasatan segera dan menyeluruh dijalankan susulan insiden kemalangan membabitkan lori Jabatan Imigresen (JIM) yang mengorbankan tiga sekeluarga di Jalan Sultan Ismail, di sini, awal pagi tadi.
- Tiga sekeluarga maut, seorang lagi cedera selepas dilanggar lori Jabatan Imigresen di persimpangan Jalan Sultan Ismail.
- Siasatan awal mendapati lori tanpa muatan memasuki persimpangan ketika lampu merah walaupun lampu suar dan siren diaktifkan.
- Pemandu lori dan pemandu kereta ditahan; ujian pernafasan serta saringan air kencing negatif, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan.
“Saya telah mengarahkan JIM supaya menjalankan siasatan.
“Jika terdapat kecuaian atau pelanggaran undang-undang, tindakan sewajarnya mesti diambil tanpa kompromi,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Datuk Seri Anwar turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dalam insiden berkenaan.
Terdahulu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa mengesagkan, tiga sekeluarga maut manakala seorang lagi cedera selepas dipercayai dirempuh sebuah lori JIM.
Kemalangan berlaku di persimpangan lampu isyarat pusat beli-belah Maju Junction, Jalan Sultan Ismail, kira-kira 1 pagi tadi.
“Siasatan awal mendapati, lori tanpa muatan milik JIM dipercayai memasuki persimpangan ketika lampu isyarat di laluannya berwarna merah dengan lampu suar serta siren diaktifkan.
“Pada masa sama, sebuah kereta yang bergerak lurus ketika lampu isyarat hijau dipercayai tidak sempat mengelak lalu bertembung dengan lori berkenaan,” jelasnya dalam satu kenyataan.
Akibat perlanggaran itu, lori terbabit hilang kawalan sebelum melanggar empat pejalan kaki daripada sebuah keluarga serta sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV).
Tiga pejalan kaki terdiri daripada seorang lelaki berusia 53 tahun dan dua anak perempuannya masing-masing berusia 25 dan 12 tahun maut di lokasi kejadian.
Isteri lelaki berkenaan yang berusia 55 tahun pula mengalami kecederaan di kepala, tangan serta kedua-dua kaki dan dirawat di Zon Merah Hospital Kuala Lumpur.
“Pemandu lori JIM dan pemandu kereta ditahan bagi membantu siasatan, manakala ujian pernafasan serta saringan awal air kencing terhadap kedua-duanya didapati negatif alkohol dan dadah,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.