
WASHINGTON, 19 Ogos – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menangguhkan pelaksanaan tarif baharu ke atas beberapa barangan Kanada selepas rundingan antara kedua-dua negara berlangsung sehingga saat-saat akhir.
- Trump menandatangani arahan mengenakan tarif 50 peratus, mendakwa Kanada memberi layanan tidak adil terhadap alkohol, automotif dan tenusu AS.
- Tarif meliputi wain, kayu hoki dan simen, menyasarkan kira-kira 5.5 peratus eksport Kanada bernilai sekitar AS$20 bilion.
- Oxford Economics ramal kesan negatif sederhana terhadap ekonomi Kanada, dengan impak lebih teruk pada sektor pembuatan di bahagian tengah negara.
“Pelaksanaan tarif 50 peratus itu akan ditangguhkan selama tiga hari. Keputusan itu dibuat berdasarkan fakta bahawa Kanada dan AS, tertakluk kepada pemuktamadan dokumen, telah mencapai satu PERJANJIAN!”, menurut Trump di platform Truth Social.
Perkara itu diumumkan selepas perbincangan tergempar antara Trump dengan Perdana Menteri Kanada, Mark Carney pada Selasa, beberapa jam sebelum tarif yang dirancang itu dijadualkan berkuat kuasa selepas tengah malam.
Tanpa memberikan butiran lanjut, Trump turut memaklumkan bahawa projek saluran paip Keystone XL yang dihentikan sepenuhnya pada 2021 semasa pemerintahan bekas Presiden Joe Biden, mungkin akan diaktifkan semula.
Trump sebelum ini menggesa agar projek kontroversi itu dilaksanakan semula, namun ia mendapat tentangan daripada aktivis alam sekitar, selain disekat oleh Biden.
Trump menandatangani arahan mengenakan tarif tinggi sebanyak 50 peratus itu pada bulan lalu, dengan White House mendakwa Kanada mengenakan layanan tidak adil terhadap produk alkohol, automotif dan tenusu dari AS.
Tarif berkenaan meliputi produk seperti wain, kayu hoki dan simen.
Menurut anggaran Oxford Economics, tarif yang dirancang Trump itu menyasarkan kira-kira 5.5 peratus eksport Kanada ke AS, bernilai sekitar AS$20 bilion.
Walaupun langkah itu hanya menimbulkan risiko negatif yang “sederhana” terhadap ekonomi Kanada, Oxford Economics berpendapat, tarif berkenaan akan memberi kesan jauh lebih teruk kepada sektor pembuatan di bahagian tengah Kanada. -AFP