
KUALA LUMPUR, 19 Ogos – Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB), Universiti Sains Malaysia (USM) Bertam mengadakan Minggu Kesedaran Kanser bermula 17 hingga 22 Ogos yang menggabungkan elemen sains, seni, dan interaksi pakar bagi meningkatkan pemahaman masyarakat mengenai kanser secara berkesan.
- Menekankan pendekatan menyeluruh melalui penyelidikan, pendidikan kesihatan dan penjagaan pesakit untuk meningkatkan kefahaman masyarakat tentang kanser.
- Pengisian utama: pameran penyelidikan, reruai penjagaan paliatif, pemeriksaan tekanan darah percuma dan aktiviti interaktif seperti kuiz Kahoot.
- Pengunjung boleh bersemuka bersama pakar untuk perbincangan risiko, gejala awal, saringan dan pilihan rawatan; turut disiarkan podcast kanser payudara.
PKTAAB memaklumkan bahawa program itu mengetengahkan pendekatan menyeluruh menerusi penyelidikan, pendidikan kesihatan, penjagaan pesakit, dan seni sebagai medium utama.
Langkah itu membolehkan orang ramai memahami isu kesihatan kompleks melalui bentuk visual yang lebih dekat, mudah difahami, dan membina empati terhadap cabaran yang dihadapi pesakit serta keluarga.
“Antara pengisian utama sepanjang program termasuk pameran hasil penyelidikan dan inovasi PKTAAB, reruai penjagaan paliatif, pemeriksaan tekanan darah percuma, serta aktiviti interaktif seperti kuiz Kahoot.
“Pengunjung turut berpeluang berinteraksi dan berbincang secara bersemuka bersama pakar kesihatan serta penyelidik mengenai faktor risiko, gejala awal, saringan, dan pilihan rawatan,” menurut kenyataan itu.
Hari pertama program turut diselangi dengan siaran podcast bertajuk “Kanser Payudara: Mitos, Fakta dan Harapan” yang disampaikan oleh Pakar Pembedahan dan Pensyarah Perubatan PKTAAB, Dr. Hasmah Hussin.
Program kesihatan itu akan mencapai kemuncaknya menerusi Majlis Perasmian PKTAAB yang bakal disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir pada 22 Ogos ini.
Pihak PKTAAB mengalu-alukan kehadiran orang ramai, khususnya pesakit, penjaga, dan ahli keluarga untuk hadir memanfaatkan maklumat sahih itu daripada sumber berwibawa dalam suasana yang mesra masyarakat.