SUKMA Selangor: Danish Iftikhar sempurna hatrik, pecah rekod 200 meter

Foto BERNAMA

SERDANG, 18 Ogos -Atlet Johor Danish Iftikhar Muhammad Roslee mengukuhkan status sebagai Raja Pecut Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 apabila memecahkan rekod temasya dalam acara 200 meter (m) lelaki di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM), di sini hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Melengkapkan hatrik emas SUKMA (100m, 4x100m, 200m) dengan 20.85s, memadam rekod 21.01s dari 2018.
  • Pemegang rekod kebangsaan 200m 20.73s, Danish percaya masih mampu memperbaiki masa dan memperbaharui rekodnya.
  • Izzatul Musfirah menang 200m wanita dengan 24.42s, mengesahkan status ratu pecut SUKMA selepas kecewa perak 4x100m.

Selepas cemerlang meraih emas dalam acara 100m dan 4x100m, atlet berusia 19 tahun itu melengkapkan hatrik selepas mencatat masa 20.85 saat (s), sekali gus memadam rekod 21.01s yang dilakar atlet Selangor Muhammad Aqil Yasmin pada edisi 2018 di Perak.

Pingat perak menjadi milik pelari Kedah Muhammad Umaira Subri dengan catatan 21.23s, manakala gangsa diraih seorang lagi pelari Johor Muhamad Airiel Iskandar Rusli menerusi catatan 21.35s.

“Selepas semua perlumbaan dari hari pertama SUKMA sehingga hari ini, Alhamdulillah, hanya itu yang mampu saya katakan kerana berjaya mengharungi semua acara, iaitu 100m, 4x100m dan 200m,” katanya ketika ditemui selepas perlumbaan.

Pemegang rekod kebangsaan 200m dengan catatan 20.73s itu bagaimanapun mengakui masih banyak ruang untuk diperbaiki bagi mencapai sasaran memperbaharui rekod kebangsaan miliknya.

“Saya percaya saya mampu memperbaiki catatan terbaik peribadi saya yang juga merupakan rekod kebangsaan,” katanya.

Sementara itu, saingan 200m wanita menyaksikan wakil Terengganu Izzatul Musfirah Ahmad Kamal Azira mengesahkan status ratu pecut SUKMA selepas menguasai acara 200m wanita dengan catatan 24.42s.

Lim Mei Yin dari Selangor memenangi pingat perak dengan catatan 24.86s, manakala seorang lagi wakil Terengganu, Nor Aliya Najihah Muda meraih gangsa menerusi catatan 25.39s.

Kejayaan itu pada masa sama mengubat kekecewaan Izzatul Musfirah selepas terpaksa berpuas hati dengan pingat perak dalam acara 4x100m wanita semalam.- BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.